Carian
Boeing-Sikorksy Memperlihatkan Rekaan Konsep Helikopter Peninjau Tempur FARA
March 4, 2020 Effi Saharudin

Helikopter mula dilihat sebagai aset pertahanan yang penting ketika perang Vietnam.  Kemampuannya untuk beroperasi dalam pelbagai situasi menjadikannya seakan sebuah kereta kebal terbang di medan tempur. Dengan keperluan medan tempur moden yang lebih dinamik, program Future Attack Reconnaissance Aircraft (FARA) telah diumumkan oleh tentera A.S dua tahun lalu.

Bagi memenangi kontrak helikopter peninjau tempur generasi terkini, Boeing-Sikorsky telah memperlihatkan rekaan konsep mereka. Pesawat akan dilengkapi satu enjin yang membekalkan kuasa kepada sistem kipas utama dengan enam bilah, kipas ekor dan sebuah kipas penolak pada bahagian buritan. Juruterbang dan WEPS duduk dalam kedudukan tandem di dalam kokpit.

Pada bahagian hidung diletakkan sistem mesingan dan sistem derita pemantauan waktu malam serta kamera. Kesemua sistem senjata lain disimpan di dalam tubuh sebelum dikeluarkan menerusi pintu khas untuk dilancarkan.

Rekaan helikopter tanpa nama ini banyak meminjam rekaan yang dilihat pada RAH-66 Comanche dan Lockheed AH-56 Cheyenne , dua helikopter konsep yang hanya terbang sebagai prototaip. Bahagian hadapan dan sistem senjata tersembunyi jelas dipinjam dari Comanche yang dibatalkan pada tahun 2004.

Kipas penolak pada bahagian buritan pula dipinjam dari Cheyenne yang dihasilkan untuk program AAFSS lima dekad yang lalu. Komponen yang sama digunakan Boeing Sikorsy SB>1 yang dibangunkan untuk program Future Vertical Lift (FVL).

Program Future Attack Reconnaissance Aircraft (FARA) dimulakan bagi mencari helikopter untuk menggantikan Bell OH-58 Kiowa . Sebelum Boeing-Sikorsky, AVX Aircraft dan L3 Technologies telah memperlihatkan konsep mereka tahun lalu dengan sistem kipas utama bertingkat.

Komen