iPhone Kini Boleh Menggunakan Sistem Operasi Android Menerusi Project Sandcastle

iPhone Kini Boleh Menggunakan Sistem Operasi Android Menerusi Project Sandcastle

Diterbitkan pada Mac 5, 2020 oleh .

Di pasaran gelap anda boleh membeli sebuah iPhone palsu yang sebenarnya menggunakan sistem operasi Android yang telah diubahsuai. Antara peranti klon yang pernah kami laporkan ialah Goophone lapan tahun yang lalu. Tetapi kini anda boleh mengubah sebuah iPhone asli menjadi sebuah peranti Android menggunakan Project Sandcastle.

Menerusi perisian ini, pemilik iPhone 7, iPhone 7 Plus dan iPod Touch boleh menggantikan sistem operasi iOS dengan Android. Menurut pembangunnya Corellium, ini adalah bagi membuktikan Apple menghalang pemilk dari benar-benar menggunakan perkakasan peranti. Dengan Project Sandcastle, pemilik tiga model peranti iOS kini bebas memilih sistem operasi yang ingin digunakan.

Android berjaya dipasang menggunakan jailbreak checkra1n. Oleh sebab itulah pada waktu ini Project Sandcastle hanya boleh digunakan pada peranti yang lebih baharu dari iPhone 5S tetapi tidak selepas iPhone X kerana jailbreak checkra1n tidak boleh digunakan pada model-model iPhone tersebut.

Apa yang dilakukan oleh Corellium sebenarnya tidak mengejutkan kerana pengasasnya David Wang menjadi individu pertama memasang Android pada iPhone versi pertama sedekad yang lalu.

Corellium ialah firma yang disaman oleh Apple tahun lalu kerana menghasilkan perisian sekuriti yang didakwa menyalahgunakan perisian iOS untuk tujuan mengaut keuntungan. Sekiranya anda mahu mencuba Project Sandcastle, ia boleh diakses menerusi pautan ini.


TIPS & ULASAN