AnTuTu Memberikan Sebab Kenapa Aplikasi Mereka Ditarik Dari Play Store

AnTuTu Memberikan Sebab Kenapa Aplikasi Mereka Ditarik Dari Play Store

Diterbitkan pada Mac 10, 2020 oleh .

Mana-mana peranti baharu yang tiba di Makmal Amanz, akan kami uji kemampuan prestasinya dengan ujian tanda aras. Aplikasi yang kami gunakan sudah semestinya AnTuTu Benchmark. Namun apabila kami ingin membuat ujian tanda aras pada peranti Oppo Find X2 Pro, Samsung Galaxy S20 – aplikasi ini sudah tidak disenaraikan di Google Play Store. Jika carian dilakukan menerusi Google Search pula, terdapat pautan ke Play Store tetapi apabila ditekan skrin akan mengatakan pautan tidak ditemui pada URL yang digunakan.

Isu ini dikatakan berkait dengan Cheetah Mobile. Yang mana baru-baru ini, semua aplikasi dari Cheetah Mobile telah dibuang dari Google Play Store – kerana aplikasi mereka penuh dengan perisian hasad, isu mencuri data pengguna, dan banyak lagi masalah berkait dengan sekuriti dan privasi. Atas sebab itu, Google telah membuang semua aplikasi Cheetah Mobile dan mereka tidak lagi dibenarkan menerbit aplikasi di Google Play.

Siasatan Google mendapati, AnTuTu berkait dengan Cheetah Mobile. Namun, sebenarnya tidak. Pihak AnTuTu telah mengeluarkan kenyataan yang mereka telah wujud sejak tahun 2011, sebelum Cheetah Mobile wujud lagi. Cuma, Cheetah Mobile pernah melabur dengan AnTuTu pada tahun 2014 dan menjadi pemegang amanah. Namun majoriti pegangan masih dipegang oleh AnTuTu sendiri dan akaun AnTuTu di Google diuruskan sepenuhnya oleh AnTuTu sendiri.

AnTuTu menggunakan perkhidmatan perundangan dari Cheetah Mobile dan polisi privasi AnTuTu berkait dengan laman web cmcm.com. Disebabkan itu, Google salah faham dan membuat keputusan membuang AnTuTu dari Play Store. Namun, AnTuTu dalam proses menukar ke perkhidmatan perundangan lain untuk polisi privasi yang baharu. AnTuTu juga telah berhubung dengan pihak Cheetah Mobile bagi membantu menyelesaikan isu ini, kerana masalah ini berpunca dari mereka.



TIPS & ULASAN