Carian
Pengecas Nirwawar VOOC 30W Oppo Sudah Sedia Untuk Dipasarkan
March 13, 2020 Fahim Zahar

Tahun 2018, Oppo telah mempatenkan pengecas nirwayar tersendiri. Ia dikatakan adalah sistem pengecasan nirwayar pantas. Tahun lepas, jenama Oppo telah tersenarai dalam Wireless Power Consortium (WPC). Iaitu organisasi yang bertanggungjawab dalam sistem pengecasan nirwayar Qi. Namun, Oppo masih tidak memperlihatkan peranti yang menyokong sistem ini dan juga pengecas nirwayar mereka.

Tahun lepas, Oppo telah pun memperlihatkan teknologi SuperVOOC 2.0 dengan kuasa 65W. Sistem pengecasan ini boleh mengecas peranti 4000mAh dari 1% ke 100% dalam masa 27 minit sahaja dan ia benar-benar dicas penuh dalam masa 30 minit.Teknologi ini kemudiannya diperkenalkan pada siri Oppo Find X2. Pada tahun yang sama, Oppo turut memperlihatkan sistem pengecasan nirwayar mereka yang tersendiri. Ia dinamakan sebagai 30W Wireless VOOC Flash Charge. Sistem ini boleh mengecas bateri 4000mAh secara nirwayar dalam masa 80 minit sahaja.

Oppo menyatakan yang mereka menggunakan pembetulan proses pengecasan masa nyata dan komponen pengecasan yang efisien bagi memastikan proses pengecasan adalah lebih selamat sambil mengelak isu memanas. Kemudian bagi meningkatkan lagi keselamatan, Oppo turut menggunakan beberapa rekaan tersendiri bagi memastikan jika objek asing berada di atas pad pengecasan – proses pengecasan akan dihentikan.

Terkini, menurut temubual XDA dengan wakil Oppo – Oppo memberitahu mereka yang sistem pengecas nirwayar 30W VOOC mereka sudah sedia dipasarkan. Walau bagaimanapun, mereka tidak menjelaskan kenapa sokongan pengecasan nirwayar tidak disertakan pada Oppo Find X2 Pro.

Tetapi disebabkan Oppo adalah bawah syarikat BBK Electronics, ada kemungkinan besar OnePlus akan menggunakannya terlebih dahulu. Ada ura-ura yang OnePlus 8 Pro akan menyokong pengecasan nirwayar. Mungkin ia bukan 30W Wireless VOOC, tetapi Wireles Warp 30W? Apa-apa pun, sama-sama kita nantikan.

Komen