Cari @ Amanz

Apabila bercakap mengenai komputer riba ataupun tablet, pilihan CPU orang ramai biasanya adalah model keluaran Intel, tidak kira untuk tujuan produktiviti ataupun riadah.

Microsoft sebelum ini telah memperkenalkan sebuah model peranti Surface Laptop 3 yang dikuasakan cip pemprosesan oleh AMD, tetapi ramai yang membeli peranti tersebut tetap memilih CPU Intel sebagai pilihan pertama mereka.

Terkini, Microsoft dilaporkan bahawa mereka sedia memberi satu lagi peluang untuk mencuba AMD didalam peranti Surface mereka, iaitu APU Renoir yang dibina menggunakan teknologi proses 7nm sama yang digunakan untuk membina CPU AMD Zen 2 yang diperkenalkan pada tahun lalu.

Satu ciapan daripada pengguna Twitter @_rogame menunjukkan sebuah “komputer riba Microsoft” yang hadir dengan APU AMD Ryzen 5 4500U, iaitu sebuah APU yang mempunyai enam teras fizikal dan enam bebenang kuasa yang juga hadir dengan cip grafik AMD Radeon Vega dengan enam teras.

Buat masa ini tiada butiran yang lebih mendalam mengenai peranti Surface misteri ini, tetapi melihat kepada spesifikasi APU sahaja, Microsoft mungkin berminat untuk memperkenalkan sebuah peranti Surface baru dengan harga yang lebih mampu milik, seakan Microsoft Surface Go sebelum ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd