Kuo – iPhone Akan Hanya Menggunakan Mekanisme Periskop Pada Tahun 2022

Kuo – iPhone Akan Hanya Menggunakan Mekanisme Periskop Pada Tahun 2022

Diterbitkan pada Mac 23, 2020 oleh .

Sistem zum optikal nirhilang sehingga 10x dipopularkan oleh Huawei P30 Pro. Dengan mekanisme zum periskop, masalah gambar pecah apabila diambil menggunakan telefon pintar berjaya diselesaikan. Pada waktu ini turut telah digunakan oleh Oppo dan Samsung. Bagaimana pula dengan Apple?

Menurut penganalisa terkemuka Ming-Chi Kuo, Apple akan hanya memperkenalkan mekanisme periskop pada iPhone pada tahun 2022. Pada waktu ini sistem zum optikal iPhone 11 Pro Max adalah hanya sehingga 2X. Apple terkenal dengan keengganan mereka untuk memperkenalkan teknologi yang mereka rasakan belum cukup matang. Lensa sudut ultra lebar misalnya hanya diperkenalkan tahun lalu walaupun sudah agak lama disokong pada peranti Android.

Beliau turut meramalkan pengguna teknologi penstabilan sensor-shift pada iPhone 2020 dengan skrin sebesar 6,7″. Menerusi teknologi sensor-shift, penstabilan dilakukan pada sensor itu sendiri dan bukannya lensa seperti yang diguna pakai sekarang. Secara teorinya gambar yang berkualiti lebih baik dapat diambil walaupun dengan penggunaan aksesori lensa tambahan. Kemudian pada tahun 2021, teknologi penstabilan sensor-shift akan digunakan pada sehingga tiga iPhone yang dilancarkan.

Ming-Chi Kuo mempunyai rekod ramalan yang amat baik oleh itu kemungkinan ramalan ini akan turut menjadi kenyataan. Beliau turut sebelum ini meramalkan iPhone 2020 (iPhone 12?) akan turut dilengkapi sensor 3D TOF untuk memfokus dengan lebih baik serta membolehkan integrasi teknologi realiti terimbuh yang lebih tepat. Kamera LIDAR pada iPad Pro baharu mempunyai fungsi yang serupa dan mungkin tahun ini iPhone pertama dengan kuad-kamera akan dipasarkan.



TIPS & ULASAN