Carian
Pandang Pertama Huawei P40 Pro – Peranti Catur-Lengkung Pertama?
March 26, 2020 Fahim Zahar

Telefon pintar yang telah membuatkan orang tergila-gilakan kameranya adalah Huawei. Ini kerana, markah DXOMark untuk peranti Huawei sentiasa tinggi berbanding pesaing-pesaing lain. Huawei juga yang telah memperkenalkan kemampuan mengambil gambar pada waktu malam yang cantik dengan hanya bergantung kepada perisian. Peranti ini adalah siri-P. Bermula pada Huawei P9, Huawei memfokuskan kepada kamera dengan bekerjasama dengan Leica untuk lensa-lensa pada peranti.

Terkini, Huawei telah melancarkan pula siri Huawei P40. Di Makmal Amanz kami bertuah kerana mendapat akses kepada P40 Pro beberapa hari lebih awal. Kami dapat menguji peranti ini buat seketika dan mendapati, Huawei telah membuat satu perubahan drastik pada peranti ini. Dari rekaan, skrin sehinggalah ke kamera, P40 Pro membuatkan kami amat teruja. Ini adalah artikel pandang pertama kami tentang P40 Pro.

Spesifikasi

Huawei P40 Pro
Skrin 6.58″ OLED, 90Hz, 2640×1200
Quad-curve overflow display
Pemproses Kirin 990 5G 7nm+ EUV²
Cip 2×2.86 GHz Cortex-A76
2×2.36 GHz Cortex-A76
4×1.95 GHz Cortex-A55
Cip Grafik Mali-G76 MP16
RAM 8 Gigabyte
Muatan Dalaman 256GB
(NM Card sehingga 256GB)
Kamera Utama 50+40+12+3D TOF Megapixel.
f/1.9+f/1.8+f/3.4, OIS, HDR, 5x Optikal
Kamera Depan 32+3D TOF Megapixel.
f/2.2
Bateri 4200 mAh
40W berwayar + 27W nirwayar
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano (Talam Hibrid)
NFC Ya
Infra Merah Ya
Kalis Air IP68
Sistem Imbasan Cap jari terbina dalam skrin
Harga Jualan Belum Diketahui

Huawei P40 Pro menggunakan rekaan skrin baharu. Ia dinamakan sebagai Quad-curve overflow display dan buat pertama kalinya peranti Huawei mempunyai sokongan kadar segar semula 90Hz. Rekaan skrin ini diberi nama sebegitu kerana ia mempunyai catur-lengkung. Kesemua sisi kiri, kanan, atas dan bawah adalah melengkung. Ini adalah sesuatu yang baru untuk sesebuah peranti pintar. Saiz skrin adalah 6.58″ dan menggunakan panel OLED. Resolusi pula terhad kepada FHD+ sahaja, iaitu 2640 x 1200 pixel.

P40 Pro dijana dengan cip pemprosesan Kirin 990 5G 7nm+ EUV². Ia dipadankan pula dengan memori hanya 8GB RAM dan storan dalaman 256GB. Tetapi jika anda rasakan saiz storan itu tidak mencukupi, ia boleh dikembangkan dengan kad memori NM sehingga 256GB juga – menjadikan jumlah storan 512GB. Ya, Huawei P40 Pro menggunakan cip pemproses tahun lepas. Anda perlu tahu, kitaran cip baru Huawei dilakukan pada siri Mate terlebih dahulu. Secara tradisi siri P akan menggunakan semula cip siri tanpa perubahan besar.

Prestasi cip tidak dinafikan adalah di dalam kelas mercu dan akan membantu anda untuk membuat pelbagai tugasan dengan mudah. Tidak lupa juga, bermain permua pasti akan memberikan pengalaman yang mengasyikkan. Namun begitu dalam ujian yang telah kami lakukan bulan ini, prestasi Kirin 990 5G adalah di belakang Exynos 990, Snapdrgon 865 dan Apple A13 Bionic.

Dibantu pula dengan skrin 90Hz, ia menjadikan pengalaman sentuhan lebih lancar dan pantas. Jujur kami katakan, hidupkan sahaja peranti dan memulakan tatalan terasa amat pantas. Tetapan default adalah 90Hz dan tidak seperti siri Samsung Galaxy S20 yang ditetapkan pada 60Hz sejurus selepas peranti dihidupkan pertama kali.

Warna skrin juga cantik dan meriah. Warna cukup tajam dengan penghasilan dynamic range yang baik walaupun tiada sokongan HDR10+. Skrin ini kelihatan sedikit seakan skrin waterfall, namun tidak mempunyai lengkungan sisi yang melampau seperti Mate 30 Pro. Ia sedikit rata dan ini membuatkannya lebih selesa di dalam genggaman tangan. Walaupun rekaan skrin Mate 30 Pro kelihatan lebih seksi dari sudut estetik, keputusan Huawei untuk tidak menggunakan rekaan waterfall amat kami hargai kerana ia menjadikan peranti kurang licin dan lebih mudah dipegang.

Bateri yang digunakan pula adalah 4200mAh dan menggunakan sistem pengecasan pantas 40W Huawei SuperCharge. Lebih menarik, sistem pengecasan nirwayar pada P40 Pro turut mengecas pada output 27W. Jadi tidak kira berwayar atau nirwayar, peranti dapat dicas dengan amat pantas. Meneruskan ciri yang sedia terbina sejak Mate 20 Pro adalah pengecasan nirwayar dua-arah.

Kamera

Huawei P40 Pro menggunakan tetapan catur kamera yang mengekalkan penggunaan lensa hasil usahasama mereka dengan Leica. Ia menggabungkan lensa 50MP f/1.9 lensa utama, 40MP f/1.8 sudut ultra lebar, 12MP f/3.4 periskop zum 5x optikal dan sensor 3D ToF. Pada kamera hadapan pula, ia dimuatkan dalam lubang skrin yang agak lebar. Ini kerana, kamera swafoto adalah gabungan lensa 32MP f/2.2 dan 3D TOF Megapixel. Disebabkan Huawei siri-P sentiasa memfokuskan kamera, P40 Pro dilihat menjanjikan sesuatu yang baru pada kamera mereka.

Bukan itu sahaja, Huawei turut memperkenalkan beberapa fungsi kecerdasan buatan baharu seperti AI Remove Reflection, AI Remove Passerby dan AI Best Moment. Dalam ujian yang kami jalankan, hanya AI Remove Reflection sahaja dapat digunakan pada waktu ini. Fungsi-fungsi lain mungkin akan hadir dalam kemas kini akan datang. Unit yang kami terima ini juga adalah unit ulasan sahaja dan versi perisiannya mungkin akan berbeza dengan versi yang akan dijual nanti.

AI Remove Reflection ini kena dengan namanya, iaitu membuang kesan pantulan. Fungsi ini terbina dalam aplikasi galeri, yang mana boleh diakses apabila anda ingin menyunting gambar yang telah diambil. Kami masih tidak faham bagaimana ia berfungsi dan pantulan apa yang akan dibuang. Apabila kami menggunakannya, ia hanya menggelapkan gambar asal sahaja.

Untuk AI Remove Passerby, ia mungkin adalah untuk membuang individu-individu yang berada di latar belakang subjek seperti fungsi Stacking dalam Adobe Photoshop. Akhir sekali untuk AI Best Moment, ia mengingatkan kami kepada Single Take yang terbina dalam peranti Samsung Galaxy S20. Berdasarkan nama fungsi, ia mungkin akan memilih imej terbaik daripada pelbagai imej yang ditangkap.

Kualiti gambar pada hemat kami adalah amat hebat. Ia memperlihatkan hasil yang sangat realistik dan jitu daripada apa yang mata pengguna dapat lihat. Ujian ringkas yang kami lakukan, gambar manusia kelihatan cantik, kemas dan mempunyai warna yang tajam. Butiran juga mencukupi tidak kira mod apa yang digunakan.

Menggunakan mod potret pula, akan memperlihatkan kesan kabur yang lebih tepat. Namun kami merasakan ia masih tidak dapat menandingi kemampuan mod potret dari peranti Pixel. Mod malam adalah perkara yang paling ramai ingin tahu. Hasil yang kami cuba, di dalam pejabat adalah baik sekali. Lihat perbezaan yang kami sertakan, satu adalah mod biasa satu lagi adalah mod malam. Namun, di kawasan luar yang lebih gelap, ia menajamkan lagi gambar dan hingar jelas kelihatan. Sekali lagi, kami masih menggunakan peranti dengan perisian awal yang masih belum dioptimasikan sepenuhnya.

Gambar swafoto juga mempunyai kualiti yang memuaskan. Dengan bantuan sensor kedalaman, ia akan menjadikan gambar potret lebih baik dari biasa. Dalam ujian ringkas ini juga kami sudah berpuas hati, apatah lagi apabila hadir dalam versi akhir nanti. Pasti akan lebih menyerlah.

Kami mungkin akan teruskan perbandingan kamera seperti yang kami lakukan bersama Galaxy S20 Ultra kelak. Untuk zum, ia tidak sehebat Samsung. Hasilnya kurang memuaskan, fokus kurang tajam dan warna juga tidak begitu menarik. Peralihan lensa apabila menggunakan lensa ultra lebar ke lebar dan kemudian ke telefoto walau bagaimanapun, adalah lebih baik dari peranti Samsung atau P30 Pro.

Antaramuka

EMUI adalah sistem operasi yang digunakan dalam peranti-peranti Huawei. Versi yang digunakan adalah EMUI 10.1. berasaskan Android 10. Secara keseluruhan adalah sama sahaja, dari segi rekaan, fungsi dan ciri semuanya adalah sepertimana yang anda lihat dalam EMUI 10. Dalam versi ini, ia turut memperkenalkan beberapa perkara dari Huawei Mate XS dan MatePad Pro.

Berikut adalah beberapa fungsi menarik yang disertakan pada Huawei Pro Pro.

Air Gesture – Fungsi yang sama dalam Mate 30 Pro. Ia menggunakan sensor di hadapan untuk membuat kawalan gestur atas udara. Tetapi masih tidak begitu sempurna dan hanya berfungsi kadangkala sahaja.

Cutout – Menyorokkan lubang skrin dengan meletakkan palang hitam pada bahagian atas skrin.

Dual-View – Ia adalah fungsi yang menggunakan dua lensa belakang serentak memaparkan paparan yang berbeza. Di bahagian bawah adalah dari lensa utama dan atas adalah lensa telefoto. Walau bagaimanapun, ia bukan untuk mengambil gambar tetapi adalah untuk merakam video.

Find Phone – Ia adalah aplikasi seperti Find My iPhone atau Find Device dari Google. Fungsinya adalah untuk mencari peranti Huawei lain yang telah dilog masuk dengan akaun Huawei.

Hi-Res – Satu lagi fungsi pada kamera. Ia adalah seperti namanya, iaitu untuk mengambil gambar resolusi tinggi. Ia menggunakan lensa 50MP dan satu gambar bersaiz sekitar 49MB dengan resolusi 6144 x 8192.

Huawei Share –  Fungsi yang sudah lama ada pada banyak peranti Huawei seperti telefon pintar, tablet atau juga komputer riba. Ia membolehkan pengguna berkongsi fail dengan mudah seakan AirDrop dan juga berkongsi skrin peranti ke peranti lain.

MeeTime – Satu lagi fungsi yang meminjam Face Time dari Apple. Ia adalah untuk panggilan video dari peranti Huawei ke Huawei.

Multi Window – Di dalam Mate XS dan MatePad Pro Huawei menggelarkannya sebagai Huawei App Multiplier. Ia adalah kawalan gestur yang memerlukan pengguna menatal dari kanan peranti untuk mengakses dock aplikasi untuk memulakan multi-tugasan.

Remove Reflection – Seperti yang disebut dalam bahagian kamera, ia adalah fungsi kecerdasan buatan untuk membuang kesan pantulan pada imej.

Screen Refresh Rate –  Pertama untuk peranti Huawei, iaitu skrin pada kadar segar semula yang tinggi. Pada peranti ini ia menyokong sehingga 90Hz dan pengguna boleh memilih ke 60Hz.

Sunting Gambar –  Pada aplikasi Gallery, kini terbina kemampuan menyunting gambar pada tahap yang lebih profesional. Ia kini menyertakan pelbagai fungsi baru untuk memudahkan pengguna menyunting gambar untuk kelihatan lebih baik.

Audio

Seperti Mate 30 Pro dan P30 Pro, ia menggunakan pembesar gagang telinga bawah skrin yang menggunakan teknologi piezoelectric. Ia akan mengalirkan gelombang bunyi ke skrin peranti dan kemudian ke telinga pengguna. Sehingga ke hari ini, ia masih tidak berfungsi sebagai pembesar suara stereo biasa.

Malah, P40 Pro turut menggunakan pembesar suara mono dan bukannya stereo sebenar. Kualiti bunyi masih lagi kuat dan lantang namun kami masih sarankan pengguna gunakannya sahaja set fon telinga nirwayar sekiranya ingin menikmati pengalaman audio yang lebih baik. Huawei turut memberikan fungsi Sound Booster untuk meningkatkan kualiti audio pada aksesori audio nirwayar sebagai ganti kepada sistem audio Dolby Audio.

Rekaan

Mengikut trend terkini, Huawei turut menggunakan rekaan modul kamera segi empat pada panel belakang. Akan tetapi, ia tidak setebal  yang ditemui pada Samsung Galaxy S20 Ultra. Sungguhpun begitu apabila berada di atas meja, peranti masih tidak boleh diletakkan rata pada permukaan meja.

Sekiranya ada mempunyai tabiat menggunakan peranti di atas meja ketika makan, P40 Pro tidak boleh digunakan tanpa terjungkang-jungkit apabila skrin ditekan. Penyelesaian kepada masalah ini ialah menggunakan kerangka yang mengurangkan ketinggian bonjol sekaligus meratakan panel belakang peranti.

Di panel belakang turut terdapat logo Huawei di bahagian bawah di sisi. Pada bahagian bawah, terdapat kekisi pembesar suara, port USB-C, mikrofon dan juga slot SIM bersaiz nano. Pada bahagian atas pula diletakkan sensor infra merah dan mikrofon. Di sisi kanan peranti adalah butang kuasa dan butang laras suara. Bagi membezakan kedua-dua butang ini, butang kuasa mempunyai permukaan yang lebih kasar serta berwarna merah, Kualiti binaan butang-butang fizikal P40 Pro adalah amat memuaskan seperti yang dapat dilihat pada peranti-peranti mercu mereka yang terdahulu.

Pada bahagian hadapan, skrin Huawei kelihatan seakan menyeluruh tanpa sebarang bezel. Lengkungan pada keempat-empat sisi tidak mempunyai sudut yang melampau seperti Mate 30 Pro sehinggakan tidak boleh menyertakan butang laras suara. Pada hemat kami lengkungan skrin P40 Pro terletak di antara Mate 30 Pro dan Galaxy S20 Ultra.

Jika ada satu trend yang kami rasakan perlu dihentikan pada tahun 2020 ialah penggunaan skrin air terjun. Ia hanya membuatkan peranti kehilangan butang kuasa yang kemudian digantikan dengan butang atas skrin yang tidak mesra pengguna. Tambahan lagi bahagian sisi peranti amat terdedah kepada hentakkan sekiranya terjatuh. Kesemua kerangka tahan lasak di pasaran tidak memberikan perlindungan yang mencukupi.

Pada hemat kami, awalnya peranti kelihatan agak janggal. Ini kerana setiap sudut peranti kelihatan mempunyai bezel yang tebal dan skrin dengan lubang kamera berbentuk bujur yang agak besar. Trend pada tahun 2020 ialah lubang skrin lebih kecil dan sisi yang kurang melengkung.

Sungguhpun begitu peranti selesa digunakan walaupun dengan sebelah tangan dan terasa cukup berat yang memberikan perasaan ia benar-benar sebuah telefon pintar premium. Ia tidak mengganggu pengalaman penggunaan dan mudah disesuaikan dengan diri kami. Warna yang kami terima ini adalah Deep Sea Blue. Ia adalah biru gelap dengan cerun ungu apabila terkena pantulan cahaya yang diperbuat daripada kaca. Oleh itu tidaklah mengejutkan P40 Pro memerangkap kotoran dan minyak dengan amat mudah sekali. Masalah dunia pertama ini boleh diselesaikan dengan menggunakan sebuah kerangka.

Kesimpulan

Huawei P40 Pro ialah evolusi dan bukanlah revolusi jika dibandingkan dengan P30 Pro. Kemampuan kamera P30 Pro yang masih lagi antara terbaik di dalam kelasnya diperhalusi dengan penggunaan sensor yang lebih besar serta perisian yang ditambah baik selepas mendengar maklum balas dari pengguna.

Perubahan paling besar dapat dilihat pada skrin kuad-lengkung dan penggunaan bonjol kamera yang semakin membesar.  Keperluan pengguna yang inginkan kamera yang lebih baik setiap tahun menyebabkan lebih banyak sensor perlu ditambah dan saiz yang lebih besar. Akibatnya rekaan bonjol gergasi ini tidak dapat dielakkan.

Hanya lima bulan yang lalu bonjol kamera iPhone 11 Pro Max menjadi bahan ketawa atas talian tetapi kini bonjol pada peranti Android adalah jauh lebih besar. Sekiranya teknologi kamera yang lebih baik tidak dibangunkan. saiz bonjol kamera akan menjadi lebih besar seperti saiz bateri dan skrin.

Sepanjang penggunaan dalam masa yang singkat ini, P40 Pro menunjukkan prestasi yang baik, paparan 90Hz yang memuaskan dan kemampuan kamera yang menunjukkan berpotensi untuk memberikan persaingan kepada peranti pesaing terdekat mereka walaupun dengan perisian pra-pelancaran.

Kerisauan yang ada adalah RAM sebesar 8GB dan storan hanya sehingga 256GB kami rasakan adalah kecil bagi sebuah peranti mercu pada tahun 2020. Pesaing mereka telahpun melancarkan peranti dengan memori 12GB sebagai standard.

Proses ulasan masih sedang kami lakukan, Untuk mengetahui pandangan akhir kami tentang Huawei P40 Pro, nantikan kemunculan ulasan penuhnya di Amanz dalam masa beberapa minggu sahaja lagi.

Komen