2020 nampaknya tahun dimana kita akan dapat melihat lebih banyak lagi model-model fon telinga True Wireless Stereo dengan ciri-ciri tambahan hadir di pasaran dunia.
Jika semalam Samsung memperkenalkan cip pengawalan kuasa semua-dalam-satu mereka, hari ini tiba giliran Qualcomm untuk memperlihatkan siri sistem-atas-cip (SoC) Bluetooth audio mereka yang dinamakan QCC514x dan QCC304x yang direka khusus untuk aksesori TWS kelas pertengahan dan mampu milik.
Diantara ciri-ciri yang hadir melalui SoC ini termasuklah peningkatan dari segi kualiti panggilan dan pendengaran, jangka-hayat bateri yang lebih tahan lama, dan kebolehan untuk menukar dari mod stereo ke mono lebih mudah yang dinamakan True Wireless Mirroring.
Bukan itu sahaja, bergantung kepada pembangun produk, fon telinga yang menggunakan SoC QCC514x dan QCC304x ini boleh hadir dengan ciri pembatalan hingar aktif hibrid dan mod transparensi dimana pengguna boleh juga mendengar bunyi persekitaran, dimana ciri ini hanya hadir melalui fon telinga kelas premium sebelum ini.
Kedua-dua SoC ini juga menyokong penggunaan pembantu digital seperti Google Assistant dan Amazon Alexa, tetapi dengan SoC QCC514x, pengguna boleh mengaktifkannya dengan hanya perlu menggunakan kata pengaktifan, sama seperti apa yang ditawarkan pada Apple Airpods.
Peranti-peranti yang menggunakan SoC Bluetooth QCC514x dan QCC304x ini dijangka hadir tiba sekitar suku ketiga ataupun keempat tahun ini.