Duolingo adalah aplikasi pendidikan yang agak popular. Aplikasi ini membantu ramai orang untuk mempelajari bahasa asing seperti Arab, Jepun, Korea, Arab dan banyak lagi. Bagi peminat Star Trek, aplikasi ini turut boleh mengajar bahasa Klingon.
Terkini dari pembangun yang sama, mereka telah hadir dengan Duolingo ABC. Ia memfokuskan untuk mendidik anak-anak kecil membaca. Kursus pembelajaran Duolingo ABC adalah singkat dan ia akan mengajar anak-anak kecil huruf A-Z, pengajaran melalui bunyi, kata-kata pandang, dan kursus ini sesuai untuk mereka yang berusia dari tiga tahun hingga enam tahun. Duolingo ABC menawarkan 300 kursus, anak-anak kecil akan diberi tugasan seperti mengeja, menulis, memahami huruf besar atau kecil, dan banyak lagi.
Buat masa ini, aplikasi ini terhad untuk iOS sahaja dan hanya boleh dimuat turun di negara-negara terpilih sahaja. Versi Android hanya akan tiba di bulan-bulan akan datang. Dengan Perintah Kawalan Pergerakan, sekolah dan tadika semuanya cuti. Jadi, aplikasi ini akan membantu anak-anak kecil anda hanya dari rumah. Jika anda di Malaysia ingin mencuba aplikasi ini, ubah sahaja tetapan akaun iCloud anda ke negara seperti Australia, Kanada, Ireland, New Zealand, UK atau US dan anda boleh muat turun dengan mudah.