Xiaomi Mungkin Akan Hadir Dengan Mi Note 10 Lite – Dijana Snapdragon 730G & Penta-Kamera

Xiaomi Mungkin Akan Hadir Dengan Mi Note 10 Lite – Dijana Snapdragon 730G & Penta-Kamera

Diterbitkan pada Mac 30, 2020 oleh .

Beberapa minggu lepas, Xiaomi China sudah mula menyahsenarai Mi CC9 Pro di laman web mereka. Peranti sudah bersedia untuk tidak lagi dijual di pasaran China, bagi memberi laluan kepada peranti 5G yang bakal dijual. Xiaomi dilihat sudah memulakan semula strategi “membuang” peranti di China ke pasaran global seperti beberapa tahun lepas.

Terkini, peranti Mi Note 10 Lite pula mula kedengaran. Ia dikatakan akan kekal menggunakan tetapan penta-kamera, iaitu gabungan lima lensa 64MP + 8MP + 8MP 5MP + 2MP dan akan dijana dengan cip Snapdragon 730G. Bukan itu sahaja, skrin peranti dikatakan adalah panel yang lebih kurang sama iaitu jenis melengkung, OLED dan bersaiz 6.47-inci. Tiada sokongan auto-fokus laser, bateri adalah sama 5260mAh, terhad dengan sokongan 4G sahaja, menjalankan MIUI 11 dan menyokong sistem pengecasan pantas 30W.

Disebabkan peranti 4G berharga sekitar RM1200 di China tidak lagi akan dijual dan senarai Mi Note 10 Lite ini muncul di FCC, jelas di sini ia adalah untuk pasaran global. Penawaran secara keseluruhan Mi Note 10 Lite ini dilihat lebih kurang sama dengan Mi Note 10, cuma tiada lensa 108MP. Tidak pasti bila ia akan dilancarkan dan butiran mengenai harga dan negara mana akan menerima peranti ini masih menjadi misteri.

Strategi pasaran global Xiaomi dilihat berbeza dengan China. Sebelum ini kedengaran yang Xiaomi hanya akan fokus kepada siri Mi 10 sahaja dan tidak akan ada Mi 10 Lite atau Mi 10 SE, Tiba-tiba minggu lepas Mi 10 Lite diumumkan untuk pasaran global. Kenapa membuat pusingan-U wahai Xiaomi? Apa-apa pun, sama-sama kita nantikan.



TIPS & ULASAN