Carian
Kadar Bit Penstriman Netflix Dikurangkan Di Malaysia Sepanjang April
March 31, 2020 Effi Saharudin

Kita sudah merentas dua minggu perintah kawalan pergerakan yang menyebabkan ramai perlu bekerja dari rumah. Selain impak yang tinggi terhadap masyarakat dan ekonomi, ia turut menyebabkan penggunaan Internet meningkat kerana ramai memilih untuk menghabiskan masa menstrim video di rumah. Bermula esok hari ini 31 Mac, Netflix mengesahkan kadar bit penstriman pelanggan mereka di Malaysia akan dikurangkan sepertimana yang berlaku di Eropah minggu lalu.

Menurut Netflix ini akan mengurangkan penggunaan lebar jalur sebanyak 25% sehingga penghujung bulan April. Ini ialah langkah proaktif mereka untuk mengurangkan beban ke atas infrastruktur Internet negara sepanjang tempoh PKP dan dilakukan tanpa permintaan dari pihak kerajaan.

Tambah Netflix lagi, pengguna di Malaysia masih boleh menstim kandungan beresolusi 4K tetapi pada kadar bit yang lebih rendah. Sekiranya anda masih ingin menonton kandungan Netflix pada tetapan tertinggi, ia masih dinikmati dengan memuat turunnya terlebih dahulu pada peranti.

Oleh kerana pengguna masih boleh menonton kandungan 4K, tiada potongan harga akan ditawarkan bagi mereka yang melanggan kepada pakej Premium RM51 sebulan.

Dengan pengumuman awal ini pelanggan masih mempunyai masa untuk mengubah ke pakej lain sekiranya mereka melakukan pada hari pertama setiap bulan. Harus diingatkan sekiranya akan memilih untuk berubah dari pakej Premium, jumlah skrin yang disokong pada akaun akan berkurangan dari empat pada waktu ini.

Dikemaskini – Dalam laporan asal kami mengatakan pengurangan kadar bit akan bermula esok. Ini adalah kesilapan kami kerana ia sebenarnya bermula hari ini.

Komen