Teksi Terbang ROSA Menggunakan Rekaan Gyrodyne Yang Sudah Pupus Hampir Enam Dekad

Teksi Terbang ROSA Menggunakan Rekaan Gyrodyne Yang Sudah Pupus Hampir Enam Dekad

Diterbitkan pada Apr 3, 2020 oleh .

Volocopter dan Uber masing-masing mempunyai idea apakah yang dimaksudkan sebagai teksi terbang. Volocopter VoloCity percaya dengan konsep pesawat kecil dengan puluhan kipas kecil yang terbang secara jarak dekat. Uber Hyundai S-A1 pula menggunakan sistem kipas sendeng dengan sayap konvensional. Satu rekaan yang sudah lama tidak dilihat ialah gyrodyne.

Jaunt Air Mobility telah memperlihatkan rekaan teksi terbang Reduced Rotor Operating Speed (ROSA) yang merupakan sebuah gyrodyne. Kipas utama pada bahagian atas berfungsi seperti helikopter untuk terbang serta mendarat secara menegak. Empat kipas elektrik pada sayap kecil pula memberikan tujahan apabila melakukan penerbangan mendatar seperti pesawat konvensional.

Kelebihan gyrodyne ialah sekiranya berlaku masalah kehilangan kuasa sepenuhnya, ROSA masih boleh mendarat menggunakan autoputaran kipas seperti sebuah helikopter. Satu lagi kelebihan gyrodyne ialah semasa melakukan penerbangan mendatar, kipas utama tidak lagi menampung beban penerbangan kerana diambil alih oleh sayap. Hasilnya kipas utama boleh berputar lebih perlahan dan tidak bising seperti sebuah helikopter.

Menurut Jaunt teksi terbang mereka mampu terbang pada kelajuan 281 kilometer sejam dengan membawa lima penumpang tidak termasuk juruterbang. Mereka menyasarkan penerbangan pertama pada tahun 2022 dan mula beroperasi secara komersil pada tahun 2030 lengkap dengan kemampuan swaterbang.

Pembangunan gyrodyne meletus pada dekad 50an hingga 60an untuk menghasilkan pesawat hibrid kapal terbang dan helikopter. Pesawat gyrodyne tidak dapat dilihat digunakan secara meluas sekarang kerana kesemua projek pembangunannya dibatalkan akibat kos serta kurangnya permintaan dari pelanggan.

Dengan teksi terbang dilihat sebagai mod pengangkutan masa hadapan, rekaan gyrodyne dilihat kembali relevan. Ia menawarkan kelajuan penerbangan mendatar seperti kapal terbang tetapi mampu terbang menegak seperti helikopter tanpa sistem kompleks kipas sendeng.



TIPS & ULASAN