Carian
Imej Pengolokan Oppo Find X2 Lite & Spesifikasi Tertiris – Snapdragon 765, AMOLED, 48MP
April 7, 2020 Fahim Zahar

Peranti mercu dengan Snapdragon 865 pertama dilancarkan di Malaysia adalah siri Find X2. Ia dijual pada harga yang premium dan menawarkan skrin AMOLED 120Hz, kamera yang baik, rekaan seksi, prestasi yang mengejutkan dan juga sokongan 5G. Jika peranti ini adalah mahal, anda mungkin boleh nantikan sahaja Oppo Find X2 Lite – sebuah lagi peranti 5G dalam siri yang sama tetapi adalah variasi yang murah.

Oppo Find X2 Lite adalah peranti kelas pertengahan premium. Baru-baru ini spesifikasi dan imej pengolokan telah tertiris. Ia memperlihatkan skrin 6.4-inci Super AMOLED FHD+, takuk kecil dan menggunakan rekaan dagu tebal. Ia dijana dengan Snapdragon 765 dan dipadankan dengan memori 8GB RAM dan storan dalaman 128GB. Ia juga adalah sebuah peranti 5G dan mengejutkan hanya ada satu slot kad SIM sahaja. Untuk kamera, ia menggunakan tetapan kuad-kamera dari lensa 48MP + 8MP sudut ultra lebar + 2MP sensor kedalaman + 2MP lensa makro bersama-sama dengan lensa 32MP untuk kamera swafoto.

Untuk sekuriti ia menggunakan pengimbas cap jari bawah skrin, mempunyai port bicu audio 3.5mm, NFC dan sokongan WiFi 6. Bateri pula adalah 4025mAh dengan sokongan pengecasan pantas 30W. Ia menjalankan Color OS 7 berasakan Android 10. Ia hadir dengan dua warna, hitam dan putih (seakan aurora). Peranti ini jelas sekali adalah Oppo Reno3 Vitality Edition yang dilancarkan di China beberapa bulan lalu tetapi untuk pasaran global.

Peranti ini dijangka akan dijual pada harga €499.99, iaitu sekitar RM2354. Tidak pasti lagi jika ia akan dilancarkan di Malaysia ataupun tidak dan bilakah tarikh pelancaran global.

Komen