Imej Pengolokan Pengecas Nirwayar OnePlus Diperlihatkan

Imej Pengolokan Pengecas Nirwayar OnePlus Diperlihatkan

Diterbitkan pada Apr 8, 2020 oleh .

Kita sudah tahu berdasarkan ura-ura yang OnePlus 8 Pro akan menyokong pengecasan pantas nirwayar. Akhirnya perkara ini menjadi realiti dan disahkan oleh OnePlus sendiri melalui pengumuman Warp Charge 30 Wireless baru-baru ini. Pengecas nirwayar ini boleh menawarkan sokongan pengecasan nirwayar sehingga 30W. Ini membolehkan peranti anda dicas penuh sehingga 50% dalam masa setengah jam.

Evan Blass, selaku peniris produk terkenal telah memperlihatkan pula imej pengolokan pengecas nirwayar OnePlus ini. Ia adalah pengecas nirwayar jenis menegak, seakan Pixel Stand. Pengecas ini dikelilingi dengan rangka berwarna perak, di bahagian hadapan pada dagu terdapat lampu LED, turut kelihatan adalah tapak untuk meletakkan peranti dan bahagian belakang yang mempunyai kekisi untuk pengaliran udara panas. Berdasarkan imej pengolokan, ia akan mempunyai kabel terbina. Jika ini adalah rekaan akhir, agak mengecewakan – kerana OnePlus sepatutnya sudah boleh mula memperkenalkan kabel USB-C ke USB-C mereka untuk teknologi Warp Charge.

OnePlus mengatakan sebuah cip khusus turut disertakan pada pengecas nirwayar ini dalam mengawal output, selain mengelak daripada pengecas ini menjadi panas dan berlaku pembaziran tenaga. Selain sokongan peranti OnePlus, pengecas nirwayar ini turut menyokong piawaian Qi dengan pengecasan sehingga 5W. Apa-apa pun, sama-sama kita nantikan pengumuman lanjut dari OnePlus.



TIPS & ULASAN