Spesifikasi Penuh Google Pixel 4a Tertiris Sepenuhnya

Spesifikasi Penuh Google Pixel 4a Tertiris Sepenuhnya

Diterbitkan pada Apr 10, 2020 oleh .

Google Pixel 4a dijadualkan dilancarkan ketika acara Google I/O 2020 yang sepatutnya berlangsung pada 12 Mei hadapan tetapi telahpun dibatalkan. Sungguhpun begitu ia dipercayai akan dilancarkan dalam masa terdekat dan hari ini spesifikasi penuh peranti pintar kelas pertengahan ini telah tertiris ke arena web.

Menurut laporan 9to5Google, Google Pixel 4a dilengkapi skrin 5.81″ OLED FHD+, dijana cip Snapdragon 730, memori 6GB RAM, storan sehingga 128GB, kamera utama 12.2-Megapixel, kamera swafoto 8-Megapixel dan bateri sebesar 3080 mAh.

Kamera hadapan diletakkan di dalam lubang kamera dalam skrin yang bersaiz kecil. Kamera utamanya pula diletakkan di dalam bonjol berbentuk empat segi yang sama seperti yang digunakan pada Pixel 4. Walaupun berskrin OLED, Pixel 4a masih tidak menyokong pengimbas cap jari dalam skrin. Sebaliknya pengimbas cap jari diletakkan pada panel belakang.

Seperti yang dapat anda lihat Pixel 4a juga tidak mempunyai sistem imbasan wajah 3D atau sensor Soli yang membolehkan peranti dikawal menggunakan gestur udara. Pixel Neural Core untuk pemprosesan imej yang lebih pantas juga tidak disertakan.

Peranti juga menyokong pengecasan pantas 18W USB-PD dan bicu audio 3.5mm pada bahagian bawah. Akhir sekali peranti ini dipercayai akan dijual pada harga bermula $399 (~RM1781) sebuah.

Sekiranya spesifikasi ini nyata benar, Pixel 4a hanya membawakan perubahan yang kecil berbanding Pixel 3a tahun lalu. Penambahbaikan dilakukan hanya pada cip pemproses, saiz RAM dan bateri yang sedikit lebih besar.



TIPS & ULASAN