Seperti diketahui umum, OnePlus sememangnya sebuah pengeluar yang sering menghasilkan peranti dengan prestasi cukup cemerlang. Amat jarang untuk kita temui sebarang masalah besar yang berlaku pada peranti keluaran OnePlus. Seperti dijanjikan, OnePlus akhirnya memperkenalkan peranti mercu terbaru mereka OnePlus 8 dan OnePlus 8 Pro semalam. Kedua-duanya dilengkapi sejumlah pembaharuan yang baik bagi meneruskan prinsip Never Setttle yang dijaja oleh OnePlus. Berikut ialah beberapa perkara menarik pada siri OnePlus 8 yang pastinya menjadi tarikan pengguna apabila ia dipasarkan kelak.
1.Paparan Skrin Dengan Kadar Segar Semula 120Hz
Paparan dengan kadar segar semula 120Hz sememangnya menjadi antara trend terkini buat kebanyakan peranti pintar semasa. Memang tidak dinafikan, paparan 120Hz ini menyajikan pengalaman penggunaan yang jauh lebih lancar berbanding paparan skrin biasa 60Hz. OnePlus nampaknya tidak mahu ketinggalan dalam arena ini apabila menyertakan sokongan 120Hz (kadar sentuhan 240Hz) pada resolusi QHD+ dan paparan HDR10+ pada model OnePlus 8 Pro.
Ini sebenarnya adalah penambahbaikan ketara pertama berbanding skrin 90Hz pada OnePlus 7T Pro tahun lalu.. Penawaran ini meletakkannya setanding dengan setanding dengan barisan Samsung Galaxy S20 dan Oppo Find X2.
Selain itu, paparan ini juga dilengkapi dengan cip kustom MEMC yang diadaptasi daripada televisyen untuk peningkatan video ke kadar bingkai yang lebih tinggi. Pada masa yang sama, OnePlus turut menambahkan sensor pada bahagian depan dan belakang paparan untuk peningkatan kecerahan secara automatik.
Lebih mengujakan, OnePlus juga telah menerima penilaian A+ daripada DisplayMate untuk paparan siri OnePlus 8 sekaligus menewaskan Samsung Galaxy S20 Ultra. Selain itu, siri OnePlus 8 turut menerima skor 10+ untuk rekod prestasi skrin terbaik. Menurut DisplayMate, skrin peranti ini mempunyai warna yang jitu dan visual yang tidak dapat dibezakan dari kesempurnaan.
2) Spesifikasi Berkuasa Dengan Snapdragon 865 Dan RAM LPDRR5
Cip pemprosesan adalah faktor penting yang tidak boleh diketepikan setiap kali berbicara mengenai peranti pintar mercu. Bahkan, pengguna sering mengharapkan penghasilan produk yang terbaik daripada para pengeluar. OnePlus tidak pernah mengecewakan penggunanya dengan memberikan ciri-ciri yang terbaik pada setiap model yang dikeluarkan termasuklah untuk kali ini.
Siri OnePlus 8 dilengkapi cip pemprosesan terbaru Snapdragon 865 dengan modem Qualcomm X55. Ini bermakna kedua – dua peranti didatangkan dengan sokongan rangkaian 5G. Ini ialah pemproses paling berkuasa untuk peranti Android untuk separuh tahun pertama 2020. Jika anda enggan berkompromi dalam pemilihan cip, siri OnePlus 8 tidak akan mengecewakan.
Ditambah dengan RAM LPDDR5 serba baru pada OnePlus 8 Pro menjadikan peranti ini mampu menjanjikan prestasi 30% lebih berkuasa bersama kecekapan 20% lebih baik. Ini sedikit sebanyak mempercepatkan proses melancarkan aplikasi dan mengurangkan penggunaan bateri.
3. Kemampuan Kamera Yang Dipertingkatkan
Susun kamera kelihatan sama seperti OnePlus 7T Pro dengan modul kamera yang diselaraskan secara menegak pada bahagian belakang peranti. Bagaimanapun, siri kali ini didatangkan dengan konfigurasi kamera yang dipertingkatkan terutamanya untuk model OnePlus 8 Pro.
One Plus 8 pro dilihat hadir dengan dua kamera beresolusi tinggi iaitu lensa 48-Megapixel dengan sensor Sony IMX689 yang sama seperti siri OPPO Find X2. Manakala, kamera yang kedua adalah lensa 48-Megapixel dengan sensor Sony IM586 dipadankan dengan lensa sudut ultra lebar. Lensa telefoto masih lagi dipadankan dengan sensor 8-Megapixel seperti tahun lalu dengan kemampuan zum hibrid sehingga 3X dan digital sehingga 30X.
Sensor 48-Megapixel bersaiz 1/1.4″ yang digunakan pada lensa utama OnePlus 8 Pro adalah antara yang terbesar pada peranti pintar semasa. Tetapi bukanlah paling terbesar seperti sensor 1/1.28″ yang digunakan pada siri Huawei P40. Sensor terakhir ialah sensor penuras warna khas yang akan membantu dalam memastikan penghasilan semula warna pada gambar adalah tepat.
Beralih ke OnePlus 8 pula, peranti dilengkapi sistem tri-kamera utama yang dengan gabungan lensa 48-Megapixel sensor Sony IMX586 (f/1.75), 16-Megapixel untuk lensa sudut ultra lebar dan 2-Megapixel untuk lensa makro dengan jarak fokus sehingga 3cm. Seperti OnePlus 8 Pro, kamera pada peranti ini juga turut menyokong penstabilan imej Penstabilan Imej Elektronik (EIS) dan Penstabilan Imej Optikal (OIS).
Ada yang merungut spesifikasi kamera OnePlus 7T adalah lebih baik berbanding OnePlus 8 tetapi harus diingatkan peranti ini adalah model gantian untuk OnePlus 7 yang hanya dilengkapi dwi-kamera.
4. Akhirnya Kalis Air IP68*
OnePlus pernah berkata peranti yang mempunyai piawaian kalis air akan menyebabkan harga jualan meningkat. Oleh itu sejak hari pertama mula memasarkan telefon pintar, OnePlus enggan menyertakan kemampuan kalis air IP68 pada peranti mereka. Ini semua berubah dengan OnePlus 8 Pro yang secara rasmi boleh direndam selama 30 minit di dalam air sehingga kedalaman 1.5 meter. Ini akhirnya melayakkan OnePlus 8 Pro diletakkan di dalam kategori peranti mercu premium. Tiada lagi kompromi kerana akhirnya yang diminta akhirnya ditepati oleh OnePlus.
5) Pengecasan Nirwayar Yang Pantas
Akhir sekali ialah fungsi yang telah lama diminta oleh peminat peranti OnePlus iaitu pengecasan nirwayar. Sebelum ini alasan yang diberikan ialah sistem pengecasan nirwayar di pasaran masih belum cukup pantas berbanding Warp Charge mereka.
OnePlus 8 Pro buat pertama kalinya menyertakan sokongan pengecasan tanpa wayar dikenali sebagai Warp Charge 30 Wireless yang menawarkan kelajuan yang sama seperti pengecasan berwayar. Menurut OnePlus, peranti dapat mencapai tahap pengecasan bateri ke tahap 50% dalam masa 30 minit sahaja.
Sebagai kesimpulan, OnePlus kini dilihat bergerak semakin laju ke hadapan seiring dengan arena teknologi semasa. Kemunculan peranti ini juga dilihat bakal memberi persaingan yang hebat kepada pencabarnya. Buat masa ini, tarikh jualan untuk pasaran tempatan masih tidak diketahui dan mungkin diumumkan dalam masa terdekat.