Cari @ Amanz

Apple iPhone SE 2020 Kini Rasmi – Skrin 4.7-Inci, Apple A13 Bionic, Touch ID, Harga Bermula RM1999

Link Copied!

Desas-desus sejak setahun lalu akhirnya menjadi realiti selepas Apple iPhone SE generasi kedua dilancarkan sebentar tadi. Ia adalah peranti dengan rekaan klasik iPhone SE asal tetapi dijana cip pemproses Apple A13 Bionic yang digunapakai pada iPhone 11 tahun lalu.

Apple iPhone SE dilengkapi skrin 4,7″ LCD Retina Display, dijana cip Apple A13 Bionic, storan sehingga 256GB, kamera utama 12-Megapixel f/1.8 dan kamera hadapan 7-Megapixel f/2.2. Seperti biasa Apple merahsiakan saiz RAM serta bateri yang digunakan pada peranti mereka setiap kali ia dilancarkan. Namun begitu mereka mengatakan ketahanan bateri adalah setanding iPhone 8 dengan sokongan pengecasan pantas 18W tetapi pengecas pantas tidak disertakan dengan setiap pembelian. Tambahan lagi ia turut boleh dicas secara nirwayar menggunakan format Qi.

Apple iPhone SE 2020 juga mengekalkan penggunaan butang Home dengan pengimbas cap jari Touch ID. Skrin ini mempunyai sokongan Haptic Feedback, kalis air IP67 dan boleh memaparkan kandungan HDR10. Tidak seperti iPhone SE generasi pertama, iPhone SE baharu ini tidak dilengkapi bicu audio 3.5mm dan output adalah menerusi bicu Lighthning. Skrin juga lebih besar berbanding hanya 4″ pada model terdahulu.

Walaupun mengitar semula nama iPhone SE, model baharu ini lebih mirip kepada iPhone 8. Sisi yang diperbuat daripada logam dibulatkan berbeza dengan sisi rata pada iPhone SE asal. Tambahan lagi panel belakang diperbuat daripada kaca sepenuhnya dan bukannya logam.

Di Malaysia harga jualan iPhone SE bermula dari RM1999 untuk model 64GB dan meningkat ke RM2699 untuk model 256GB. Warna yang ditawarkan ialah hitam, putih dan (Product) RED.


Komen ()