Hari ini pelbagai produk baharu Apple mula boleh dibeli pengguna di Malaysia. Hanya beberapa jam yang lalu Magic Keyboard untuk iPad Pro 2020 ditawarkan dan nampaknya sebentar tadi perkara yang sama juga berlaku pada MacBook Air 2020. MacBook Air 2020 ialah model kemas kini dengan papan kekunci Magic yang menggunakan mekanisme gunting serta pilihan untuk menggunakan cip Intel Core-i7 empat teras.
Spesifikasi lain MacBook Air baharu ialah skrin 13.3-inci Retina Display, dijana cip sehingga Intel Core i7 generasi kesepuluh empat teras, memori sehingga 16GB LPDDR4X RAM dan storan sehingga 2TB SSD. Ia masih lagi hanya dilengkapi dua port Thunderbolt 3 berbentuk USB-C pada bahagian sisi kiri dan pengimbas cap jari Touch ID terbina pada butang kuasa.
Di Malaysia MacBook Air ditawarkan pada harga bermula RM4399 untuk model dengan cip Intel Core i3 dan melonjak ke RM9399 untuk model dengan cip Intel Core i7, 16GB RAM dan storan 2TB SSD.