Bermula bulan lepas, kualiti video dari pelbagai perkhidmatan penstriman video dikurangkan akibat koronavirus Covid-19. Perkara ini terpaksa dilakukan kerana ingin memastikan perjalanan trafik rangkaian Internet adalah lancar dan stabil. Disebabkan sekolah tutup, ramai berkurung dan bekerja dari rumah, penggunaan Internet meningkat secara mendadak dan kualiti Internet menjadi lemah.
Netflix walaupun masih boleh menstrim kandungan 4K, tetapi bitnya direndahkan. YouTube pula resolusi default adalah 480p. Terkini Google telah membuat perubahan pada Chromecast pula. Jika anda pengguna Chromecast, anda tahu akan ada fungsi Ambient Mode iaitu gambar latar belakang yang sentiasa berubah-ubah memaparkan pelbagai pemandangan yang cantik dan menarik. Kini, tempoh setiap gambar berubah akan diperlahankan dan resolusi gambar akan berkurangan sedikit. Menurut Google, pengguna tidak akan lihat sebarang perbezaan yang ketara. Dengan langkah ini, Google mengharapkan trafik rangkaian Internet tidak akan sesak dan hanya akan kembalikan semua kepada normal selepas penggunaan Internet tidak dihujani oleh ramai pengguna seperti sekarang.