Carian
Apple Watch Mungkin Akan Mempunyai Kemampuan Mengesan Pemakai Sedang Lemas
April 17, 2020 Effi Saharudin

Pada awalnya jualan Apple Watch adalah di bawah jangkaan Apple sehingga dilaporkan menimbulkan ketegangan di antara Jony Ive dan barisan eksekutif syarikat. Tetapi selepas hampir enam tahun. ia kini mendominasi pasaran jam tangan pintar dengan ciri-ciri baharu diperkenalkan saban tahun. Selepas ini ia mungkin mampu mengesan pemakainya sedang lemas dan segera melakukan panggilan kecemasan.

Rekaan sistem mengesan pemakai lemas ini telahpun dipatenkan oleh Apple. Menerusi paten ini, sensor pada jam tangan boleh mengesan apabila ia direndam di dalam air dalam jumlah yang lebih banyak dari normal. Ia kemudian akan melihat ke dalam kalendar jika pengguna ada menjadualkan aktiviti sukan air (seperti menyelam) dan lokasi GPS. Perisian kemudian akan melakukan telahan pemakai mungkin sedang lemas dan melakukan panggilan kecemasan.

Paten turut menunjukkan sistem mampu membezakan di antara hujan, percikan air dan air peluh. Ini dapat mengelakkan sistem dari melakukan panggilan kecemasan secara tidak sengaja kerana menyangka pemakai sedang lemas. Seperti biasa kewujudan paten tidak bermakna ia akan digunakan oleh Apple pada peranti mereka dalam masa terdekat.

Komen