Tiga tahun yang lalu projek pesawat jet peribadi supersonik Aerion AS2 diumumkan. Dengan pantas pesawat rekaan Aerion ini menerima sokongan dari Lockheed Martin dan Boeing bagi mengisi permintaan pesawat penumpang pantas yang tidak lagi wujud selepas Concorde bersara. Minggu ini rekaan baharu Aerion AS2 diperlihatkan dan amat berbeza dengan rekaan asal.
Perubahan paling ketara ialah sayapnya yang kini berubah kepada rekaan delta tersapu belakang berbeza dari rekaan asal yang kelihatan seperti salib. Penggunaan sayap delta dilakukan selepas ujian terowong udara menunjukkan ia mampu mengurangkan seretan udara sehingga 20%. Sebelum ini pereka Aerion ingin mengurangkan seretan dengan menggunakan sayap yang nipis yang mirip digunakan pesawat pejuang F-104 Starfighter dari dekad 60an.
Dua enjin jet yang sebelum ini diletakkan hampir pada sisi tubuh AS2 diubah lokasinya ke bahagian bawah sayap. Akhir sekali ekor pesawat yang menggunakan konfigurasi huruf T telah diubah kepada rekaan lebih konvensional. Perubahan ini mengakibatkan pesawat yang pada asalnya sepanjang 180 kaki kini lebih pendek dengan hanya sepanjang 145 kaki.
Dengan konfigurasi tri-jet, AS2 mampu membawa sehingga 12 penumpang pada kelajuan mencecah Mach 1.4 dan jarak operasi sehingga 5000 batu nautika. Sekiranya semua berjalan lancar Aerion AS2 akan melakukan penerbangan pertama pada tahun 2024 dan memulakan operasi seawal 2026, 22 tahun selepas Concorde pupus dari ruang udara.