Samsung Mungkin Menggunakan Skrin OLED Keluaran BOE Pada Telefon Pintar Keluaran Mereka

Samsung Mungkin Menggunakan Skrin OLED Keluaran BOE Pada Telefon Pintar Keluaran Mereka

Diterbitkan pada Apr 28, 2020 oleh .

Samsung Display mendominasi pasaran skrin OLED untuk telefon pintar dengan pegangan pasaran sekitar 80% pada penghujung 2019. Panel mereka sejak dari awal digunakan pada kesemua peranti Samsung berskrin OLED.  Tetapi menurut laporan dari Display Supply Chain Consultants (DSCC) mereka mula mendengar ura-ura peranti Samsung kelak akan menggunakan skrin keluaran BOE.

Antara sebab ini akan berlaku adalah bagi mengelakkan gangguan kepada pengeluaran sekiranya insiden seperti Covid-19 berlaku sekali lagi. Pengeluaran peranti Samsung tergantung tahun ini kerana kilang Samsung Display ditutup kerana wabak koronavirus.

BOE juga menghasilkan panel OLED yang lebih murah berbanding Samsung Display dan LG Display. Kos menghasilkan peranti sekaligus dapat dikurangkan. Panel yang dikeluarkan BOE juga akan mempunyai sokongan pengimbas cap jari ultrasonik Qualcomm selepas perjanjian ditandatangani awal bulan ini. Samsung Display boleh menjual panel mereka kepada  pengeluar lain seperti Huawei, Xiaomi, Oppo, Vivo dan OnePlus.

Dalam laporan yang sama DSCC meramalkan peranti pertama Samsung yang akan menggunakan panel OLED BOE ialah Galaxy A91 pada suku keempat 2020 dan kemudian pada Galaxy S21 pada tahun 2021. Penggunaan skrin OLED pada telefon pintar Samsung sebenarnya tidak akan mengejutkan kerana BOE telahpun menghasilkan skrin untuk jam tangan pintar Galaxy Watch sebelum ini.



TIPS & ULASAN