Kereta Elektrik Xpeng P7 Dilancarkan Dengan Swapandu Tahap 3 Dan Jarak Perjalanan 700 km

Kereta Elektrik Xpeng P7 Dilancarkan Dengan Swapandu Tahap 3 Dan Jarak Perjalanan 700 km

Diterbitkan pada Apr 29, 2020 oleh .

Bila bercakap mengenai kereta elektrik, Tesla ialah jenama yang paling dikenali ramai kerana Elon Musk ialah insan yang menerima jolokan Tony Stark sebenar. Ramai mungkin tidak menyedari pembangunan kereta elektrik sekarang semakin berkembang dengan China menjadi negara dengan jumlah pengeluar yang besar. Minggu ini Xpeng P7 telah dilancarkan dan ia dilihat sebagai pesaing terhampir kepada Tesla Model 3.

Tiga model Xpeng P7 dilancarkan dengan lapan konfigurasi berbeza. Kesemuanya mempunyai jarak perjalanan di antara 568-706 kilometer dengan sekali caj. Teknologi pengecasan yang digunakan mampu memberikan jarak perjalanan sehingga 120 km selepas dicas selama 10 minit. Prestasi kenderaan pula ialah 0-100 kmj dalam masa 4.3 saat.

Sistem XPILOT 3.0 yang digunakan pula memberikan kemampuan swapandu sehingga tahap tiga dengan perancangan menyokong swapandu tahap empat menjelang 2022. Komputer NVIDIA Drive AGX Xavier dipadankan dengan 14 kamera, 12 sensor ultrasonik dan 5 radar gelombang milimeter. Menurut Xpeng ini membolehkan P7 dipandu dengan selamat walaupun di dalam situasi berkabus yang biasanya mengehadkan pemandangan pemandu manusia.

Walaupun dibangunkan di China, Xpeng bekerjasama dengan Porsche untuk menghasilkan casis, menggunakan sistem brek Brembo, sistem ABS mengitar semula tenaga oleh Bosch dan sistem audio visual Dyanaudio.

Seperti kereta elektrik lain di pasaran, bahagian pemuka pemandu didominasi oleh skrin sesentuh gergasi pada bahagian dengan skrin sekunder di belakang stereng yang memaparkan maklumat pemandu seperti kelajuan serta tahap pengecasan.

Sistem operasi Xpeng Xmart OS 2.0 digunakan untuk sistem audio visual yang mampu memahami kawalan suara. Pelbagai aplikasi boleh dimuat turun lengkap dengan integrasi AliPay. Menarik sekali cip Snapdragon 820 digunakan khusus untuk Xpeng Xmart OS 2.0 ini.

Di China Xpeng P7 dijual pada harga bermula RMB 229,9000 (~RM142,000) untuk model panduan roda belakang dan jarak perjalanan 568km sebelum meningkat ke RMB 349,900 (~RM216,000) untuk model berprestasi tinggi AWD.



Paling Popular