Xiaomi Bakal Melancarkan Televisyen Pertama Mereka Dengan Sokongan Dolby Vision

Xiaomi Bakal Melancarkan Televisyen Pertama Mereka Dengan Sokongan Dolby Vision

Diterbitkan pada Apr 29, 2020 oleh .

Seperti kita tahu, Xiaomi merupakan salah satu pengeluar yang terkenal dalam pelbagai penawaran produk elektronik termasuklah televisyen. Xiaomi sebelum ini juga telah muncul dengan beberapa televisyen pintar yang menarik. Namun, setakat ini tiada model yang hadir dengan sokongan Dolby Vision.

Kini, terdapat malumat yang mengatakan bahawa Xiaomi dalam perancangan untuk memperkenalkan televisyen dengan sokongan Dolby Vision yang pertama. Maklumat ini diperoleh hasil daripada perkongsian sebuah imej oleh pengurus besar jabatan TV Xiaomi iaitu Li Xiaoshuang menerusi laman Weibo.

Imej tersebut mendedahkan televisyen ini muncul dengan kod nama L65M5-OD dan ia dilihat telah menerima pensijilan Dolby Vision. Seterusnya, kod ‘OD’ pada nombor model tersebut merupakan rujukan kepada panel OLED. Sekaligus memberi gambaran awal bahawa televisyen ini berkemungkinan besar dilengkapi panel paparan OLED dan hadir dengan saiz 65-inci. Butiran mengenai perincian lain masih belum diketahui.

Sekadar selingan, Pengurus Xiaomi Malaysia iaitu Nicolas Shi sebelum ini telah mengesahkan bahawa mereka merancang untuk membawa masuk televisyen pintar Mi TV ke pasaran tempatan pada tahun ini. Pun begitu, tiada sebarang tarikh pelancaran yang dikongsi buat masa ini.



TIPS & ULASAN