Carian
Kereta Elektrik Kelak Boleh Mengecas Sesama Sendiri Ketika Masih Di Jalan Raya
May 1, 2020 Effi Saharudin

Tidak seperti kereta bahan api fosil, proses mengecas kenderaan elektrik adalah jauh lebih memakan masa. Tanpa sistem pengecasan pantas, kenderaan elektrik memerlukan sehingga 9 jam untuk dicas sepenuhnya. Bagi mereka yang melakukan perjalanan jauh, berhenti selama beberapa jam di stesen pengecasan adalah amat membuang masa. Sebuah konsep dari University of Florida mencadangkan kereta elektrik yang boleh mengecas sesama sendiri tanpa perlu berhenti.

Kereta elekrtik dengan caj lebih tinggi akan dipandu di hadapan kereta dengan caj yang rendah. Sistem swapandu akan memastikan kedua-dua kenderaan bergerak pada kelajuan yang sama. Apabila mencapai jarak yang sesuai, sebuah tangkai pengecas magnetik dari kedua-dua kereta akan bercantum secara automatik. Kedua-dua kenderaan akan kekal bercantum sehingga pengecasan yang mencukupi dilakukan. Di atas kertas sistem pengecasan ini kelihatan agak kompleks tetapi tidak banyak berbeza dengan sistem mengisi minyak antara pesawat automatik yang dibangunkan oleh Airbus.

Menerusi simulasi komputer yang dilakukan, dengan sistem ini kereta dapat mengurangkan keperluan berhenti sehingga 65%. Penggunaannya mungkin lebih sesuai pada perkhidmatan teksi elektrik swapandu di masa hadapan. Lori pengecas boleh diletakkan di atas jalan raya dan mengecas teksi semasa ia masih dalam perjalanan ke destinasi. Tanpa perlu berhenti dengan kerap, jumlah perjalanan sehari akan meningkat selari dengan keuntungan syarikat.

Komen