Sampel Gambar Google Pixel 4a Tertiris – Menggunakan Sensor Yang Sama Dengan Pixel 4

Sampel Gambar Google Pixel 4a Tertiris – Menggunakan Sensor Yang Sama Dengan Pixel 4

Diterbitkan pada Mei 4, 2020 oleh .

Google Pixel 4a adalah peranti kelas pertengahan baru Google, bagi menggantikan Pixel 3a. Peranti ini masih belum dijual lagi, tetapi seperti Pixel 4 tahun lepas – peranti ini sudah tertiris dan diuji oleh beberapa individu. Bagaimana mereka peroleh peranti ini? Itu masih menjadi tanda tanya dan kekal misteri. Bulan lepas, spesifikasi penuh peranti ini sudah pun tertiris. Ia dilengkapi skrin 5.81″ OLED FHD+, dijana cip Snapdragon 730, memori 6GB RAM, storan sehingga 128GB, kamera utama 12.2-Megapixel, kamera swafoto 8-Megapixel dan bateri sebesar 3080 mAh.

Terkini, butiran lanjut mengenai kamera peranti ini telah tertiris, bersama-sama dengan sampel gambar. Menurut sumber, sensor kamera utama yang digunakan adalah sama dengan Pixel 4, Pixel 3a dan Pixel 3 – iaitu Sony IMX363, f/1.73, dengan sokongan OIS dan EIS. Kamera swafoto juga adalah sama, iaitu Sony IMX355  f/2.0. Untuk sampel gambar, mereka menggunakan aplikasi kamera yang masih diuji – jadi akan ada perubahan kualiti pada versi akhir kelak. Walau bagaimanapun, setiap sampel ini masih memperlihatkan hasil yang sama dengan mana-mana peranti Pixel. Bukan itu sahaja, peranti ini turut mampu merakamkan gambar mod Astrophotography dan Night Sight.

Buat masa ini, tiada lagi tarikh rasmi pelancaran bagi Google Pixel 4a. Tetapi menurut khabar angin ia mungkin akan dilancarkan pada sekitar hujung bulan Mei (22 Mei). Apa-apa pun, sama-sama kita nantikan.



TIPS & ULASAN