Huawei ialah salah satu syarikat teknologi unik yang membangunkan kedua-dua komponen dan perisian mereka sendiri untuk digunakan didalam peranti-peranti pengguna mereka.
HuaweiCentral melaporkan bahawa mereka akan memasuki pasaran PC secara besar-besaran pada tahun ini menggunakan komponen dan perisian yang dibangunkan sendiri oleh mereka.
Seperti yang anda sedia tahu, HarmonyOS ialah sistem operasi kendiri Huawei yang boleh digunakan pada pelbagai jenis peranti, termasuklah peranti pintar, jam pintar, televisyen pintar dan juga komputer.
Kemaskini kepada sistem operasi tersebut, yang dinamakan HarmonyOS 2.0 akan tiba tidak lama lagi, dan akan digabungkan dengan cip pemprosesan Kunpeng 920 yang mempunyai pilihan empat ataupun lapan teras, dan menyokong teknologi-teknologi komputer lain seperti memori DDR4, PCIe 3.0 dan juga USB 3.0.
CPU Kunpeng 920 bukanlah sesuatu yang baru, dan buat masa ini tugas khususnya adalah untuk digunakan sebagai sistem operasi untuk menggerakkan mesin-mesin pelayan Huawei.
Laporan tersebut mengatakan bahawa komputer Huawei ini akan dipasarkan secara domestik terlebih dahulu. Penjelasan lebih lanjut akan tiba di acara Huawei Developer Conference 2020 for Consumer Business pada tahun ini.