Animasi gerak-henti mungkin tidak sepopular tiga dekad yang lalu kerana animasi CGI mampu memberikan kesan khas yang kelihatan lebih realistik. Tetapi animasi gerak-henti masih lagi mempunyai banyak peminat sehingga diajuk filem Lego Movie yang dihasilkan sepenuhnya menggunakan grafik komputer. Bagi pemilik kamera EOS-R, Canon telah menawarkan perisian yang boleh mengubah kamera ini menjadi kamera animasi gerak-henti.
Perisian animasi gerak-henti ini akan meningkat resolusi Live View ke 1920×1280 pixel di dalam perisian animasi Dragonframe berbanding 960×640 pixel sebelum ini. Dengan saiz Live View yang lebih besar, animasi yang lebih terperinci dapat dihasilkan. Disamping itu kawalan Manual Focus Peaking menerusi USB juga boleh dilakukan terus dari dalam perisian Dragonframe bagi memastikan objek sentiasa tajam. Kemas kini perisian ini ditawarkan pada harga $100 kepada pemilik EOS-R yang berminat.