Aksesori dwi-skrin dikeluarkan oleh LG untuk V6o ThinQ dan Velvet. Dengan skrin sekunder lebih banyak kerja dapat dilakukan pada sebuah telefon pintar. Menurut laporan Korea Herald, mereka mungkin melancarkan peranti dwi-skrin dengan skrin kedua berputar 90 darjah seperti LG VX9400 yang digunakan oleh Tony Stark di dalam filem pertama Iron Man.
Peranti yang menggunakan nama rekaan Horizontal Instinct ini dilengkapi dwi-skrin. Skrin sekunder akan berputar ke atas ke posisi melintang dari skrin pertama. Sekilas pandang skrin akan mempunyai skrin berbentuk huruf T. Rekaan yang unik pernah dipopularkan sendiri oleh LG pada awal alaf ke-21 dahulu. Dengan Horizontal Instinct, video melintang dapat ditonton dengan peranti masih dipegang menegak di dalam tangan.
Seterusnya peranti dengan skrin boleh gulung pula akan dilancarkan ketika acara MWC Barcelona 2021. Ia boleh dilihat sebagai adaptasi kepada televisyen OLED boleh-gulung yang mula dijual LG tahun lalu. Awal tahun ini TCL turut telah menunjukkan konsep peranti skrin boleh gulung tetapi sekadar model dengan skrin yang tidak berfungsi.
Dengan pasaran telefon pintar yang semakin kompetitif, LG perlu mencari rekaan baharu yang memberikan keunikan sekaligus menarik minat pengguna.