Cari @ Amanz

Project Ara oleh Google menjanjikan dunia baharu di mana pengguna hanya perlu membeli modul baharu setiap tahun untuk menambah baik peranti yang sudahpun dimiliki. Project Ara pula ditangguh sejak 2016 kerana tidak memenuhi piawaian Google. Sungguhpun begitu idea peranti modular masih diteruskan dan kini wujud pula peranti konsep Mosaic oleh Louis Berger.

Mosaic terdiri daripada satu modul  Photo Tile yang berfungsi sebagai otak kepada peranti. Ia dilengkapi skrin kecil dan kamera. Di dalam mod ini ia menjadi sebuah kamera yang boleh disarung pada leher lengkap dengan talinya yang tersendiri. Apabila dipasang pada aksesori Small Display Tile, Photo Tile akan mempunyai skrin empat segi yang lebih besar untuk melihat gambar yang telah diambil. Akhir sekali ialah aksesori modular ketiga Large Display Tile yang mengubah terus Photo Tile menjadi sebuah telefon pintar konvensional.

Apabila dimasukkan ke dalam Large Display Tile, Mosaic kelihatan seperti sebuah telefon pintar biasa dengan bonjol kamera yang besaiz lebih besar dari biasa. Kami akui Mosaic ialah konsep yang menarik tetapi teknologi semasa masih belum bersedia untuk rekaan seperti ini.

Suatu ketika dahulu peranti skrin boleh lipat dianggap mustahil dan tidak praktikal tetapi kini sudah menjadi realiti. Masih wujudkan minat untuk peranti modular di kalangan pengguna semasa?

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd