Norma baharu ialah ke pejabat dengan memakai topeng, membasuh tangan dengan cecair nyahkuman, duduk berjarak dengan rakan sepejabat dan tidak bersentuhan langsung. Semasa PKP ada majikan yang menyedari produktiviti kakitangan lebih tinggi semasa bekerja dari rumah. Twitter ialah antara syarikat yang menyedari hakikat ini.
Semalam Jack Dorsey, telah menghantar emel kepada kesemua kakitangan yang membenarkan mereka untuk terus bekerja dari rumah walaupun selepas berakhirnya wabak koronavirus. Mereka akan diberikan pilihan untuk pergi ke pejabat sekiranya perlu. Ini adalah sebahagian daripada perubahan jangka pendek yang akan menjadi norma baharu pejabat selepas ini. Twitter adalah antara syarikat teknologi terawal yang mengarahkan kakitangan untuk bekerja dari rumah dengan pejabat akan hanya dibuka pada bulan September.
Bagaimana pula dengan tempat kerja anda? Adakah sudah kedengaran pihak pengurusan akan membenarkan anda bekerja terus dari rumah selepas ini. Sekiranya ya ia adalah ramalan Arthur C Clarke yang sudah 20 tahun terlewat dan sememangnya tiada lagi alasan untuk membenarkannya jika ia nyata tidak merendahkan produktiviti pekerja.