Carian
10 Perubahan Besar Yang Akan Berlaku Pasca Wabak Koronavirus
March 20, 2020 Effi Saharudin

Hari ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan oleh kerajaan Malaysia dan ramai sudah mula pening kepala terperangkap di dalam rumah sepanjang hari. PKP perlu bagi membantu merendahkan keluk epidemik Covid-19 yang dilihat semakin serius termasuk di negara kita Malaysia. Kombinasi duduk lama di rumah tanpa gangguan dan banyaknya masa terluang menyebabkan saya mendapat idea menulis artikel ini. Berikut ialah 10 perubahan besar yang akan berlaku dalam masa terdekat pasca wabak koronavirus.

1.Sistem Amaran Bencana Kebangsaan Bersepadu Diperkenalkan

Di negara seperti Jepun dan Amerika Syarikat, sistem amaran bencana nasional sudah wujud berdekad lamanya selepas beberapa tragedi besar yang melanda. Rakyat akan menerima SMS, notikasi telefon dan amaran pada kaca TV sekiranya bencana besar akan berlaku.

Malaysia masih belum lagi mempunyai sistem amaran bencana nasional yang bersepadu. Akibatnya panik berlaku apabila mesej tidak rasmi dari media sosial diambil sebagai fakta. Contoh terbaik ialah insiden rakyat menyerbu balai polis apabila menyedari kebenaran pihak berwajib untuk melakukan perjalanan keluar dar negeri. Ramai panik kerana tidak mendapat maklumat yang betul. Akibatnya balai-balai polis diserbu. Arahan tidak memerlukan kebenaran hanya diberikan hampir tengah malam. Itupun menerusi beberapa salur berita rasmi.

Dalam situasi seperti ini menghantar SMS adalah lebih baik kerana ia disasarkan terus kepada jutaan pemilik telefon di Malaysia termasuk yang tidak mempunyai pelan data.

*Baru sebentar tadi Kementerian Kesihatan menghantar SMS pukal kepada kesemua telefon selular di Malaysia dengan kerjasama telko. Ini petanda baik apa yang kami ramalkan akan menjadi realiti secepat mungkin

2. Saluran Rasmi Agensi Kerajaan Akan Dipromosikan Lebih Meluas

PutrajayaAngkat tangan jika anda tahu akan kewujudan saluran telegram Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum wabak Covid-19. Jika anda tahu syabas. Saya sendiri baru mengetahui MKN mempunyai akaun Twitter rasmi (yang masih belum disahkan) dan saluran Telegram. Jelas terdapat kepincangan selama ini dapat menyedarkan orang ramai tentang saluran rasmi pelbagai agensi kerajaan.

Gunakan sistem SMS amaran kebangsaan bersepadu yang saya terangkan di atas tadi untuk penyebaran saluran betul. Sebagai contoh jika berlalu insiden banjir besar, SMS akan dihantar secara berkala dan pada waktu yang sama pautan ke laman media sosial rasmi disertakan sekali.

Ini ialah usaha serampang dua mata, Pertama memastikan rakyat dapat dihubungi dengan pantas dan kedua memastikan penyebaran berita palsu dari “Group Sebelah” dapat dihapuskan terus dari akar umbi

3. Kawalan Berita Palsu Diperketat

Kita tidak mahu kebebasan bersuara disekat tetapi sejak wabak Covid-19 mula mendapat perhatian dunia, jumlah berita palsu yang membanjiri media sosial meningkat berlipat ganda. Penukarannya jauh lebih pantas berbanding virus SAR-CoV-19 itu sendiri.  Masalah ini tidak terhad di Malaysia atau satu platform sahaja tetapi adalah masalah global.

Di UK misalnya seorang lelaki cina meninggal dunia kerana tidak diberikan bantuan kecemasan. Terdapat berita palsu penyakit ini hanya dijangkiti kaum cina dan ketakutan yang wujud menyebabkan kematian yang mungkin dapat dielakkan.

Kami tidak akan terkejut sekiranya selepas kesemua ini berakhir, beberapa kerajaan di dunia akan memperketatkan lagi Akta Berita Palsu mereka. Akta yang digubal akan mendapat sokongan majoriti rakyat yang akhirnya menyedari betapa bahayanya kebathilan yang disebarkan tanpa usul periksa.

Keputusan yang diambil oleh pihak berkuasa akan menerima tentangan kumpulan hak asasi manusia tetapi akan diluluskan juga. Situasinya sama seperti Patriot Act yang mendapat sokongan pasca serangan 911 kerana dilihat perlu untuk keselamatan bersama,

4. Automasi Menjadi Prioriti

Terdapat ramalan pada tahun ini 5 juta individu akan kehilangan pekerjaan kerana diambil alih oleh robot. Selepas kes Covid-19, tidak mengejutkan jumlah ini akan meningkat apabila syarikat menyedari impak wabak ke atas pengilangan. Foxconn misalnya hanya beroperasi pada 10% kapasiti pasca Tahun Baru Cina kerana pekerja yang tidak mampu pulang kerana halangan perjalanan yang dikenakan oleh kerajaan China. Akibatnya pengeluaran peranti Apple mengakibatkan kekurangan stok global.

Foxconn bukan satu-satunya syarikat yang terkesan teruk akibat wabak. Di Malaysia terdapat laporan perniagaan terpaksa ditutup kerana produk tidak dapat dieksport keluar sepanjang tempoh kuarantin. Adalah tidak mengejutkan jika proses meningkatkan automasi menerusi penggunaan robot akan memecut lebih pantas selepas ini kerana kehidupan berasaskan karbon amat terdedah kepada serangan wabak sedangkan pekerja urat besi boleh beroperasi tanpa henti.

5. Syarikat Lebih Bersedia Untuk Kakitangan Kerja Dari Rumah

Pengamal media adalah antara kerjaya yang sebenarnya tidak memerlukan pejabat untuk beroperasi. Di zaman-zaman awal Amanz, kami bekerja dari rumah tanpa masalah. Maka perintah halangan pergerakan yang dikenakan tidak meninggalkan impak yang besar kepada kami kerana ia sekadar kembali kepada fitrah.

Tetapi terdapat banyak syarikat yang langsung tidak mempunyai pelan kecemasan untuk kakitangan bekerja dari rumah. Akibatnya ada majikan yang masih memaksa kakitangan bekerja sehingga melanggar undang-undang.

Pasca Covid-19 kami meramalkan banyak syarikat akan menyedari kelemahan sistem mereka dan mula memikirkan prosedur bekerja dari rumah yang akan memberikan impak yang kecill kepada kelangsungan syarikat.

6. Internet Sebagai Utiliti Menjadi Realiti

InternetBekerja dari rumah hanya boleh dilakukan jika terdapat capaian Internet yang cukup pantas. Walaupun kami mempunyai pelan bekerja dari rumah sejak bertahun lamanya, kami sendiri mengalami masalah kerana ada kakitangan yang tidak mempunyai capaian Internet di rumah.

Selepas lebih 23 tahun Koridor Raya Multimedia dilancarkan oleh Tun Dr Mahathir dan Bill Gates di Cyberjaya, perkhidmatan Internet masih belum lagi menjadi utiliti seperti bekalan elektrik dan air. Adalah tidak munasabah sekiranya anda berpindah ke rumah baharu hari ini anda perlu menanti sehingga dua minggu (dalam kes paling teruk pernah kami dengar) sebelum sambungan Internet dapat dilakukan. Bayangkan jika bekalan air memakan masa yang lama pasca perpindahan.

Pada tahun 2016, Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu meletakkan akses kepada Internet sebagai antara hak asasi manusia. Dalam krisis Covid-19, capaian Internet adalah perlu kerana rakyat tidak boleh keluar dari rumah. Pembelian barangan dan mendapatkan maklumat terkini secara majoritinya dilakukan di atas talian.

Internet sebagai utiliti tidak boleh ditangguhkan lagi. Tanpa Internet kehidupan akan menjadi amat pincang. Oleh itu kami meramalkan usaha yang lebih bersepadu untuk merealisasikan Internet sebagai utiliti akan akhirnya berlaku serentak di bawah Pelan Kesalinghubungan dan Fiberisasi Nasional (NFCP).

7. Kawalan Lapangan Terbang Diperketat

Pasca 911 pelbagai peraturan baru diperkenalkan seperti isipadu cecair maksimum dan keperluan membuka kasut ke dalam mesin sinar-X. Selepas 19 tahun, perkara leceh ini sudah menjadi rutin sekiranya anda menaiki pesawat terutamanya untuk laluan antarabangsa.

Pasca Covid-19 pula, kami meramalkan kawalan kesihatan yang lebih bakal diperkenalkan. Di negara Asia sistem pengesan suhu badan kini standard selepas wabak SARS sedekad yang lalu. Di negara Eropah dan Amerika Syarikat kami difahamkan sebaliknya pula berlaku. Ini adalah sebab mengapa jumlah jangkitan Covid-19 adalah tinggi kerana sistem saringan kesihatan yang tidak bersedia untuk situasi wabak berjangkit.

Keengganan China untuk memberitahu dunia Covid-19 telah dikesan sejak November menyebabkan wabak ini menjadi pandemik. Selepas ini sistem berasaskan kepercayaan “aku akan beritahu kami jika temui wabak” akan diragui. Bagi mempertahankan negara, saringan yang lebih ketat akan kita lalui ketika keluar dan masuk. Bersedialah untuk hadir ke lapangan terbang lebih awal dari sekarang

8. Peningkatan Penggunaan Sistem Nirtunai

DuitNowDalam kes Covid-19, virus membunuh ini boleh hidup selama beberapa jam pada permukaan wang kertas. Semasa kemuncak serangan wabak di Wuhan, bank di daerah ini mula melakukan pembersihan ke atas wang kertas menggunakan sinaran UV sebelum dikuarantin selama 14 hari. Di China penggunaan sistem nirtunai sudahpun meluas dan masalah penyebaran menerusi wang dapat dikurangkan.

Di Malaysia sistem nirtunai masih bertatih dengan pelbagai platform bersaing di dalam pasaran yang kecil. Sistem A mungkin tidak boleh digunakan di Kedai B tetapi boleh di kedai C. Ini amat menyusahkan pengguna kerana menggagalkan usaha kerajaan untuk menggalakkan penggunaan pembayaran nirtunai.

Kami percaya selepas wabak Covid-19 berakhir kelak, kerajaan akan menggandakan usaha untuk meningkatkan penggunaan sistem nirtunai.

9. Desentralisasi Pengilangan Dari China Dipercepat

KilangPerang perdagangan di antara China dan Amerika Syarikat memulakan gelombang pertama syarikat mula memindahkan pengeluaran produk ke luar China. Koronavirus akan menjadi gelombang kedua yang mempercepatkan lagi usaha untuk mencari negara alternatif kepada China yang pada waktu ini sinonim sebagai “kilang dunia”.

Menerusi proses desentralisasi, gangguan kepada pengilangan di China sekiranya berlaku sekali lagi tidak akan mendatangkan kesan negatif kepada pengeluaran. China masih akan menjadi kilang dunia tetapi tidak pada skala sedia ada. Vietnam dan India mungkin akan menjadi negara alternatif yang paling berpotensi kerana jumlah buruh yang tinggi dan kos yang rendah.

10. Letusan Penggunaan Platform Edagang

Setiap insiden yang mendatangkan impak besar kepada dunia akan menyebabkan trauma. Di Eropah pekedai di Jerman sehingga hari ini tidak akan mengambil wang dari tangan anda. Sebaliknya di kedai-kedai Jerman menyediakan talam untuk meletakkan wang bayaran dan mengambil duit baki. Mengapa amalan ini normal di Jerman? Kerana wabak Black Death yang meragut jutaan nyawa lebih hampir 700 tahun yang lalu meninggalkan kesan mendalam bergenerasi lamanya

Covid-19 akan mendatangkan trauma jangka pendek kerana ramai sudah mula berkurung di rumah. Keperluan harian dipesan secara atas talian menerusi pelbagai platform edagang. Kami dapat melihat pasca Covid-19 masih ramai akan ragu-ragu untuk keluar ke kawasan yang dipenuhi orang ramai, Letusan penggunaan perkhidmatan edagang akan berlaku dalam masa terdekat.

Adakah anda bersetuju dengan ramalan-ramalan di atas? Sekiranya tidak mengapa? Sila juga turunkan komen mengenai pendapat anda sendiri apakah yang akan berlaku dalam masa terdekat akibat wabak Covid-19 ini,

Komen