Carian
Huawei Kini Disekat Dari Mendapatkan Cip Dari Pembekal Global Oleh Amerika Syarikat
May 15, 2020 Effi Saharudin

Perang teknologi di antara Amerika Syarikat dan China menjadi semakin hangat hari ini selepas Jabatan Perdagangan A.S mengeluarkan arahan yang menghalang Huawei dari mengakses cip dar pembekal-pembekal global. Ini sekaligus akan menyekat kemampuan Huawei untuk menghasilkan cip sendiri atau mengimportnya dari pengeluar lain.

Jabatan Perdagangan A.S telah meminda peraturan eksport bagi menghalang Huawei dari mengakses cip yang dihasilkan dari teknologi atau perisian milik Amerika Syarikat. Sejak dimasukkan ke dalam senarai entiti tahun lalu, Jabatan Perdagangan A.S berkata selama ini Huawei menemui lohong gelung yang membolehkan ia terus membeli cip dari pengeluar lain (seperti TSMC) untuk menghasilkan cip mereka menggunakan teknologi A.S. Semalam Presiden Trump melanjutkan halangan perdagangan ke atas Huawei sehingga Mei 2021.

Pengumuman hari ini sekaligus mematahkan usaha Huawei untuk mencari jalan untuk memintas kawalan eksport yang dikenakan selama ini. Ia pastinya mendatangkan kesan yang besar ke atas Huawei yang memerlukan cip bukan sahaja untuk telefon pintar tetapi untuk peranti boleh-hubung, jam tangan pintar dan kelengkapan komunikasi mereka. Huawei masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai halangan baharu yang dikenakan ini.

Komen