Kita masih lagi menanti pelancaran rangkaian 5G pada tahun hadapan. China telahpun melancarkan rangkaian ini sejak tahun lalu dan adalah pasaran peranti 5G terbesar dunia. Walaupun 5G baru setahun jagung, pembangunan teknologi seterusnya 6G telahpun dimulakan. ZTE dan China Telecom semalam telahpun menandatangani perjanjian persefahaman untuk membangunkan rangkaian 6G.
Pada waktu ini masih tiada standard ditetapkan untuk 6G dan apakah penambahbaikan ke atas 5GB yang akan diperkenalkan. Dengan perjanjian yang ditandatangani, ZTE dan China Telecom akan melakukan kajian untuk melihat apakah yang diperlukan kelak. Antara yang mungkin dilakukan ialah mengurangkan lagi masa pendam dan kelajuan muat turun mencecah 1 terabit sesaat berbanding 3 gigabit sesaat pada 5G.
Pembangunan teknologi 6G turut telah dilakukan oleh syarikat lain seperti Huawei dan Samsung. Sekiranya berjalan lancar, 6G akan menjadi realiti menjelang 2030.