Seperti yang dijanjikan, Huami kini telah memperkenalkan jam pintar terbaru mereka iaitu Amazfit Ares di China. Model kali ini didatangkan dengan sejumlah penawaran menarik yang dikhususkan kepada semua peminat sukan.
Amazfit Ares menyertakan rekaan berbentuk oktagon dengan paparan skrin sentuh bersaiz 1.28-inci. Paparan ini dilindungi oleh Gorilla Glass 3. Melengkapi jam pintar ini adalah bateri berkapasiti 200mAh dengan ketahanan jangka hayat bateri hingga 90 hari dalam mod asas. Ini akan berkurangan ke 14 hari sekiranya fungsi pintar diaktifkan dan 23 jam dengan GPS diaktifkan sepanjang masa.
Selain itu, ia turut menyertakan sokongan Bluetooth 4.2 BLE, GPS + GLONASS dan sejumlah sensor termasuk denyutan nadi. Sesuai dengan namanya yang diambil dari dewa perang mitologi Yunani, Ares mempunyai rekabentuk yang sangat garang dan tahan lasak. Tubuh yang diperbuat daripada bahan getah kelihatan boleh menahan hentakan yang kuat.
Menariknya lagi, jam pintar ini turut disertakan dengan 70 mod sukan yang berbeza termasuk berbasikal, berenang, memanah, aerobik, yoga, dan banyak lagi. Ia juga turut dilengkapi dengan sokongan kalis air sehingga kedalaman 50 meter. Amazfit Ares ditawarkan pada harga bermula RMB499 (~RM305) seutas.