Kemampuan kamera dengan fungsi yang baik menjadi peneraju trend pada masa kini. Vivo juga dilihat tidak mahu kalah dengan perkembangan trend terkini. Desas-desus mula tersebar mengatakan Vivo X50 mungkin menggunakan sensor terbaru daripada Samsung iaitu ISOCELL GN1.
Pengurus Produk Vivo China iaitu Han Boxiao juga seakan-akan sudah memberi bayangan mengenai perkara ini apabila berkongsi sebuah terbitan di Weibo yang membincangkan mengenai pelancaran lensa ini. Sekaligus, ramai berspekulasi bahawa peranti terbaru Vivo bakal hadir dengan lensa baru ini dan ia berkemungkinan besar adalah siri Vivo X50.
Pada masa sama, Vivo dilihat telah mengacah kemampuan kamera Vivo X50 melalui sebuah video pendek. Ia memperlihatkan lensa pada peranti berupaya merakam foto pada pencahayaan rendah dengan baik. Sekiranya perkara ini benar, maka kita mungkin akan mendengar lanjut mengenai penawaran ini dalam masa terdekat ini.