Cari @ Amanz

Kaca mata pintar Apple Glass sebelum ini dilaporkan akan hanya dilancarkan pada tahun 2022 walaupun ura-ura pembangunannya telah didengari sejak 2017. Kini beberapa lagi maklumat mengenai Apple Glass ditiriskan oleh Jon Prosser.

Menurut beliau, kaca mata pintar ini akan mempunyai bingkai berbentuk empat segi dengan sokongan lensa kaca mata biasa. Ini membolehkan mereka yang sudahpun memakai kaca mata untuk memiliki Apple Glass. Sistem kamera pada Apple Glass turut dilaporkan boleh menerima arahan gestur menggunakan tangan.

Cermin MataTambahan lagi prototaip awal Apple Glass dilengkapi LIDAR yang boleh mengimbas dunia secara tiga dimensi tetapi tidak diketahui sama ada ia akan disertakan pada produk akhir. Seperkara lagi Apple Glass perlu ditambah kepada iPhone untuk berfungsi seperti Apple Watch asal yang tidak dilengkapi SIM. Akhir sekali harga jualannya bermula dari $499 (RM2173) sepasang,

Selain kaca mata pintar, Apple dipercayai akan melancarkan set kepala realiti terimbuh seperti Oculus Quest. Ura-ura menjadi semakin hangat selepas mereka mengambil alih NextVR minggu lalu.

Sehingga kini penggunaan kaca mata pintar masih lagi terhad dengan Google Glass yang menjadi antara yang terawal dilancarkan kini telah digantung pembuatannya. Apple mempunyai rekod yang baik dalam mempopularkan sesuatu produk walau lewat memasuki pasaran. Contoh terbaik ialah Apple Watch dan AirPods yang dahulunya dianggap gagal kini mendominasi pasaran peranti boleh-pakai dunia.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd