Askar di abad ke-21 dilengkapi pelbagai peralatan elektronik bagi memberikan kelebihan di medan perang. Sistem GPS memberikan lokasi yang tepat, dron nano memudahkan pemantauan dan senjata pintar dapat memusnahkan musuh tanpa risiko tertembak anggota sendiri. Samsung hari ini telah melancarkan pula Galaxy S20 Tactical Edition (TE) yang direka khusus untuk kegunaan askar di medan perang.
Ia sebenarnya sebuah Samsung Galaxy S20 dengan perisian yang memenuhi kehendak Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (DOD) dan melepasi piawaian penyulitan Agensi Keselamatan Negara (NSA). Peranti kemudian diletakkan di dalam kerangka tahan lasak khas yang mempunyai cagak terbina membolehkan ia dipasang pada dada anggota infantri. Ia akan berfungsi sebagai alat komunikasi taktikal dan navigasi oleh anggota.
Selain itu skrin Galaxy S20 TE mempunyai mod pandangan waktu malam supaya tidak mengganggu penggunaan gogal mod malam yang dipakai. Skrin juga lebih sensitif kepada pemakai sarung tangan taktikal serta terdapat butang khas yang mematikan kesemua rangkaian LTE serta radio untuk mengelakkan diri dari dijejak. Butang Bixby pula dipetakan untuk melancarkan aplikasi tertentu dengan lebih pantas.
Samsung Galaxy S20 TE dilengkapi skrin 6.2″ Fluid AMOLED WQHD+, dijana cip Snapdragon 865, dilengkapi 12GB RAM, storan 128GB, kamera utama 12+64+12 megapixel, kamera hadapan 10-megapixel dan bateri sebesar 4000 mah. Malang sekali peranti yang kelihatan tahan lasak dengan warna Olive Drab ini tidak ditawarkan kepada orang awam.
Ini menandakan anggota tentera elit Amerika Syarikat kembali kepada peranti Samsung selepas ia digantikan dengan iPhone 6S pada tahun 2016. Sebelum itu Samsung Galaxy Note 2 digunakan sebagai sebahagian daripada Android Tactical Assault Kit (ATAK).