Seperti diketahui umum, peranti Huawei tampil dilengkapi dengan cip pemproses yang dibangunkan oleh mereka sendiri iaitu Kirin. Desas-desus terbaru mengatakan peranti misteri Huawei dengan pemproses Mediatek Dimensity 800 telah dijumpai di penanda aras Geekbench.
Peranti berkenaan dilihat muncul dengan nombor model DVC-AN00 dan menggunakan pemproses MT6873 yang mana merupakan kod nama untuk Dimensity 800. Selain itu, peranti ini berjaya menjaringkan sebanyak 526 mata untuk ujian teras tunggal. Manakala, 2,088 mata untuk ujian pelbagai teras.
Ketirisan ini seakan mengiyakan kenyataan Presiden Honor, Zhao Ming yang mengatakan bahawa Honor berkemungkinan besar menggunakan cip pemproses daripada Mediatek pada masa akan datang. Tambahan pula Mediatek dikatakan telah agak lama menjadi rakan kongsi untuk pelbagai rangkaian produk Honor. Beliau berkata demikian ketika acara pelancaran Honor X10, semalam.
Sekadar makluman, Mediatek Dimensity 800 merupakan cip pemproses yang berfokuskan kepada peranti kelas pertengahan dengan sokongan rangkaian 5G.