Cari @ Amanz

Aplikasi pengesanan kontak mula dibangunkan oleh negara seperti Singapura, Australia dan Malaysia bagi memudahkan proses menjejak mereka yang mungkin terdedah kepada individu yang disahkan positif Covid-19. Namun begitu sudah terdapat laporan ia tidak berfungsi dengan baik pada peranti iPhone kerana halangan akses bluetooth yang dikenakan iOS. Hari ini akhirnya API Pemberitahuan Pendedahan (Exposure Notification API) telah dilancarkan serentak oleh Google dan Apple.

Pada peranti iOS, ia diberikan bersama dengan kemas kini iOS 13.5 pagi tadi. Pada peranti Android pula ia diberikan menerusi kemas kini Google Play Services. API Pemberitahuan Pendedahan ini adalah penting bagi bukan sahaja memastikan aplikasi pengesanan kontak boleh berfungsi dengan sempurna pada peranti tetapi juga boleh melakukannya secara rentas platform (iOS dan Android).

Ia adalah hasil kerjasama Google dan Apple yang jarang sekali berlaku. Di dalam sidang media awal pagi tadi, wakil kedua-dua gergasi teknologi ini menegaskan API ini dibangunkan untuk memastikan peranti Android dan iOS bole berhubungan antara satu sama lain untuk menjayakan pengesanan kontak.

Wakil kedua-dua syarikat berkata sebelum API dilancarkan pelbagai maklum balas diambil menerusi ujian Beta yang dilakukan. Antaranya ialah memastikan sistem bluetooth yang digunakan tidak akan menyebabkan bateri peranti habis dengan pantas.

Aplikasi Covid-19 MalaysiaSekuriti dan keselamatan data pengguna juga dititikberatkan dengan hanya agensi kesihatan negara atau wakil yang dilantik agensi kesihatan negara dibenarkan mengakses API ini. Pengguna juga diberikan kuasa untuk memberikan kebenaran terlebih dahulu sebelum akses diberikan kepada aplikasi yang dibangunkan menggunakan API ini.

Tambah Google dan Apple lagi, setakat ini API mereka digunakan di 22 negara di 5 benua serta beberapa negeri di Amerika Syarikat. Mereka menjangka lebih banyak negara akan menggunakan API ini di masa hadapan. Aplikasi MyTrace di Malaysia tidak menggunakan API ini tetapi menurut laporan LowYat.NET, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaludin, Malaysia telahpun meminta untuk mengaksesnya.

Dengan penggunaan API yang seragam oleh pelbagai aplikasi, masalah aplikasi pengesanan kontak tidak beroperasi apabila ke negara lain tidak akan berlaku.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd