Cari @ Amanz

Facebook Menyasarkan Separuh Kakitangan Bekerja Dari Rumah Dalam Masa Sedekad

Link Copied!

Antara ramalam kami di awal PKP ialah semakin banyak syarikat akan mula memikirkan kerja dari rumah sebagai sesuatu yang normal. PKP memaksa majikan untuk membenarkan kakitangan tidak ke pejabat demi kelangsungan perniagaan. Hasilnya ialah ia terbukti boleh dilakukan dan pada sektor tertentu peningkatan produktiviti dapat dilihat. Mark Zuckerberg hari ini telah mengumumkan Facebook bercadang untuk membenarkan separuh kakitangannya bekerja terus dari rumah dalam masa sedekad.

Zuckerberg berkongsi pelan jangka panjang pekerjaan jarak jauh beliau di dalam sesi perjumpaan mingguan yang dilakukan secara atas talian semalam. Menurut beliau sebagai persediaan awal, Facebook kini meningkatkan pengambilan kakitangan baharu secara jarak jauh. Mereka yang diterima masuk boleh terus bekerja dari rumah tanpa perlu pergi ke kampus Facebook di Menlo Park.

Membenarkan kakitangan bekerja dari rumah mula dipelopori syarikat teknologi sejak wabak koronavirus memaksa perniagaan ditutup. Twitter adalah yang terawal membenarkan kakitangan untuk bekerja terus dari rumah selepas wabak berakhir. Facebook sendiri meramalkan hanya 25% tenaga kerja akan kembali ke kampus menjelang penghujung 2020. Di Malaysia pula kebenaran bekerja dari rumah untuk jangka masa panjang telahpun diberikan kepada kakitangan PNB.

Dengan Internet jalur lebar dan komputer moden, bekerja dari rumah sepatutnya sudah menjadi realiti berdekad dahulu. Kini tiada alasan lagi untuk menjadikannya norma baharu.


Komen ()