Rekaan Yang Dikatakan iPhone 13 Tertiris Dengan Sistem Penta-Kamera Seakan Huawei

Rekaan Yang Dikatakan iPhone 13 Tertiris Dengan Sistem Penta-Kamera Seakan Huawei

Diterbitkan pada Mei 28, 2020 oleh .

iPhone 12 belum lagi dilancarkan tetapi rekaan skematik yang didakwa adalah iPhone 13 telahpun tertiris ke arena web. Menurut ciapan peniris @choco_bits, lukisan di bawah ialah rekaan yang akan digunakan pada kamera iPhone 13 kelak. Ia akan dilengkapi lima sensor dan adalah peningkatan dari kuad-kamera yang bakal digunakan pada iPhone 12 kelak.

Sensor utama sebesar 64-megapixel akan dipadankan dengan lensa sudut lebar, Ia mempunyai kemampuan zum optikal 1X dan zum digital sehingga 6X. Seterusnya sensor 40-megapixel akan dipadankan dengan lensa telefoto zum optikal sehingga 3-5X dan zum digital 15-20X. Sensor ketiga sebesar 64-megapixel dipadankan dengan lensa anamorfik khusus untuk pengambilan video. Sensor 40-megapixel pula dipadankan dengan lensa sudut ultra lebar. Melengkapi sistem penta-kamera ini ialah LiDAR 4.0 yang diletakkan di luar bonjol kamera berbentuk empat segi.

Sekiranya rekaan yang tertiris ini adalah benar, Apple mengambil inspirasi dari Huawei P40 Pro+ yang dilengkapi sistem penta-kamera. Peranti mercu Huawei ini adalah yang pertama mempunyai dua sistem zum optikal yang berbeza.

Kemungkinan rekaan ini akan digunakan pada peranti akhir adalah agak rendah memandangkan Apple tidak pernah memperkenalkan iterasi rekaan kamera dua tahun berturut-turut. Malahan sokongan lensa sudut ultra-lebar tahun lalu adalah agak lewat jika dibandingkan dengan pengeluar peranti Android.

Sumber @choco_bits menerusi MacRumors



TIPS & ULASAN