Cari @ Amanz

Dongel Android TV Dari Google Tertiris – Bukan Chromecast Ultra Baharu

Link Copied!

Kita sudah tahu yang Google bakal hadir dengan satu “Chromecast Ultra” baharu, yang dikatakan akan hadir dengan alat kawalan jauh dan juga menjalankan Android TV. Walaupun Android TV itu adalah dari Google sendiri, mereka tidak mempunyai peranti Android TV tersendiri dan sistem operasi hanya digunakan oleh pengeluar lain seperti Xiaomi. Salah satu produk adalah Mi TV Stick yang akan tiba tidak lama lagi. Google telah menguji Android TV berasaskan Android 10 dengan peranti sendiri sejak sekian lama, akhirnya mereka bersedia untuk hadir dengan produk tersendiri.

Terkini, melalui XDA – sebuah peranti Android TV dari Google telah diperlihatkan. Ia lebih kepada sejenis dongel yang mirip dengan Chromecast Ultra, tetapi mempunyai rekaan yang sedikit berbeza. Dari segi penggunaan warna, Google dilihat menawarkan beberapa warna pilihan termasuk seakan warna pastel, dan hitam dan putih klasik. Dari segi gambar yang tertiris, ia dilihat berkemungkinan sekali menggunakan kemasan yang sama pada Pixel Buds generasi terkini. Dongel Android TV ini berkemungkinan besar akan dipasarkan di bawah jenama Nest, seperti mana-mana peranti berhubung dari Google.

Google turut dilaporkan akan menggunakan antaramuka tersendiri pada Android TV mereka yang akan lebih fokus kepada kandungan filem dan siri TV berbanding memfokuskan aplikasi seperti kebanyakan Android TV sekarang. Menjadikan dongel ini lebih menarik adalah, ia disertakan sekali dengan alat kawalan jauh. Seperti kebanyakan peranti Android TV, alat kawalan jauh ini akan mempunyai butang Google Assistant. Menurut sumber, alat kawalan jauh Google ini juga akan mempunyai sensor infra merah bagi memudahkan lagi kawalan – berbanding peranti Android TV lain yang banyak menggunakan kawalan berasaskan Bluetooth.

Akan tetapi, nama sebenar, tarikh dan harga masih tidak diketahui. Google sepatutnya hadir dengan satu acara pelancaran atas talian untuk melancarkan Android 11 pada 4 Jun. Acara ini juga dikatakan akan memperlihatkan Google Pixel 4a dan mungkin juga dongel Android TV ini. Sayang sekali, acara ini ditangguhkan sekali lagi dan tidak pasti bila ia akan diumumkan kembali. Apa-apa pun, sama-sama kita nantikan.


Komen ()