Diperlihatkan di CES awal Januari yang lalu, monitor melengkung QLED Samsung Odyssey G9 dan Odyssey G7 akhirnya diumumkan akan memasuki pasaran Malaysia bulan ini. Secara senyap kedua-dua monitor untuk permainan ini telahpun disenaraikan di laman Samsung Malaysia pagi ini.
Samsung Odyssey G7 dengan saiz skrin QLED 27″ ditawarkan pada harga RM2399 manakala dengan saiz skrin QLED 32″ dijual pada RM2899. Kedua-dua model Odyssey G7 menyokong resolusi 2,560 x 1,440 pixel, bernisbah 16:9 dengan kadar segar semula 240Hz. Ia turut melepasi piawaian VESA DisplayHDR 600 dan menyokong sistem paparan NVIDIA G-Sync. Ia mempunyai lengkungan skrin 1000R yang lebih besar berbanding 1800R yang digunakan sebagai standard beberapa tahun yang lalu.
Samsung Odyssey G9 dengan saiz skrin QLED 49″ pula ditawarkan pada harga RM6199. Ia menyokong resolusi 5,120 x 1,440 pixel bernisbah 32:9, Ia turut melepasi piawaian VESA DisplayHDR 1000 dan menyokong sistem paparan NVIDIA G-Sync. Ia mempunyai lengkungan skrin 1000R sama seperti Odyssey G7. Walaupun telah disenaraikan secara rasmi, pihak Samsung Malaysia masih belum mengesahkan tarikh jualan akan dibuka. Bagi mereka yang mencari monitor paling melengkung di ia kini menanti masa sahaja untuk dipasarkan.