Cari @ Amanz

Qualcomm Snapdragon 690 Diumumkan Dengan Sokongan 5G Sub-6GHz

Link Copied!

Sebuah lagi cip yang menyokong rangkaian 5G diumumkan hari ini. Qualcomm Snapdragon 690 ialah yang pertama dari siri 600 dan adalah alternatif lebih mampu milik berbanding Snapdragon 765G yang dilancarkan penghujung tahun lalu. Ia hanya menyokong rangkaian 5G sub-6GHz sahaja pada waktu ini menerusi modem X51.

Snapdragon 690 dihasilkan menggunakan teknologi 8nm, dilengkapi lapan teras dengan dua teras prestasi tinggi Kryo 560 berasaskan ARM Cortex A77 pada kelajuan sehingga 2GHz. Enam lagi teras prestasi rendah pula menggunakan cip ARM Cortex-55. GPU yang digunakan pula ialah Adreno 619L. Menurut Qualcomm ia memberikan peningkatan 20% kemampuan CPU dan sehingga 60% pada kemampuan GPU berbanding Snapdragon 675 yang dilancarkan hampir dua tahun yang lalu.

Sokongan skrin adalah sehingga FHD+ dengan kadar segara semula 120Hz dan paparan warna HDR10 serta HDR10+. Sistem kamera yang disokong pula adalah sehingga 192MP untuk mono atau dwikamera 32MP + 16MP dengan rakaman video sehingga resolusi 4K 30FPS. Turut disertakan ialah sokongan WiFi 6 yang lebih pantas.

Setakat ini pengeluar yang disahkan akan menggunakan Snapdragon 690 ialah HMD Global, Sharp, LG, Motorola, TCL dan Wingtech. Dengan pengenalan cip ini, peranti kelas pertengahan 5G yang lebih mampu milik akan menjadi realiti.


Komen ()