Cari @ Amanz

Tiga tahun yang lalu Adobe mengumumkan sokongan untuk perisian Adobe Flash akan dihentikan pada penghujung 2020. Minggu ini Adobe mengesahkan tarikh muktamad ia akan dilakukan ialah pada 31 Disember 2020. Selepas tarikh ini perisian Flash tidak lagi boleh dimuat turun menerusi laman Adobe.

Pada waktu yang sama kandungan Flash juga tidak lagi boleh dimainkan menerusi Adobe Flash Player. Sokongan perisian dan tampalan sekuriti juga tidak lagi akan ditawarkan kepada pengguna. Pihak Adobe sendiri mengesyorkan pengguna supaya tidak lagi menggunakan Flash ataupun memuat turunnya dari laman pihak ketiga selepas 31 Disember bagi mengelakkan kerentanan sekuriti.

Dengan ini tamatlah era Flash sebagai enjin kandungan interaktif utama laman web dunia. Kematiannya dipercepatkan selepas menerima kritikan terbuka dari mendiang Steve Jobs dan pengenalan HTML 5 yang lebih terbuka serta selamat.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd