Tentera Turki Kini Mempunyai Dron Kamikaze Yang Mampu Menyerang Secara Berkumpulan

Tentera Turki Kini Mempunyai Dron Kamikaze Yang Mampu Menyerang Secara Berkumpulan

Diterbitkan pada Jun 22, 2020 oleh .

Ramai meramal di masa hadapan robot dan dron akan menggantikan tugas manusia di medan perang. Di Turki, dron kamikaze yang dilengkapi bahan letupan kini digunakan oleh tentera negara ini. Dron Kargu-2 (Helang) ialah dari jenis kuad-kipas dengan bahan letupan seberat 3 pound. Ia mampu terbang pada kelajuan 144 kmj selama 30 minit dengan jarak operasi sehingga 6 kilometer.

Tiga jenis bahan letupan boleh digunakan oleh Kargu-2. Yang pertama ialah bahan letupan seakan claymore untuk menyerang infantri. Kedua ialah letupan berbentuk untuk menyerang kereta perisai ringan dan akhir sekali letupan tekanan untuk serangan di dalam bangunan.

Yang menjadikan Kargu-2 unik berbanding dron kamikaze lain seperti Rotem L buatan Israel sebelum ini ialah ia kelak boleh beroperasi secara berkumpulan. Di bawah Project KERKES, sehingga 20 dron Kargu-2 akan terbang di dalam formasi secara berkumpulan untuk menyerang musuh. Ini mengingatkan kami kepada babak di dalam filem Angel Has Fallen di mana ratusan dron kamikaze kecil digunakan untuk menyerang Presiden Amerika Syarikat.

Fiksyen nampaknya bakal menjadi realiti dalam masa terdekat.Sebanyak 500 dron Kargu-2 dipesan oleh tentera Turki setakat ini dan terdapat laporan ia telah digunakan di Syria.



TIPS & ULASAN