Cari @ Amanz

Huawei P4o Pro+ akan dilancarkan di Malaysia pada 26 Jun hadapan pada harga RM4999 sebuah. Ini ialah peranti Huawei edisi standard yang paling mahal pernah ditawarkan (tidak seperti versi Porsche Design) di Malaysia. Maka persoalan yang mungkin bermain di kepala anda semua ialah apakah perbezaannya dengan P40 yang dijual sebelum ini dan sama ada sistem kamera yang dipertingkatkan memberikan pengalaman penggunaan yang melangkaui peranti lain di pasaran? Ini ialah pandang pertama untuk Huawei P40 Pro+ ini cuba memberikan gambaran awal peranti dengan kemasan seramik ini.


Spesifikasi Dan Penggunaan

Huawei P40 Pro+
Skrin 6.58″, 1200 x 2640 pixel
OLED, 90Hz, HDR10
Pemproses HiSilicon Kirin 990 5G
Cip 2×2.86 GHz Cortex-A76
2×2.36 GHz Cortex-A76
4×1.95 GHz Cortex-A55
Cip Grafik Mali-G76 MP16
RAM 8 Gigabyte LPDDR5
Muatan Dalaman 512 Gigabyte UFS 3.0
Kamera Utama 50MP f/1.7 (utama)
+40MP (ultra lebar)
+ 8MP f/2.2 (zum optikal 3X)
+ 8MP f/2.2 (zum optikal 10X)
+3D TOF
Kamera Depan 32+3D TOF Megapixel f/2.4
Bateri 4200mAh – Pengecasan pantas 40W,
Pengecasan nirwayar 40W
Pengecasan berbalik 27W
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano (Talam Hibrid)
NFC Ya
Infra Merah Ya
Kalis Air IP68
Sistem Imbasan Cap jari terbina dalam skrin – Optikal
Harga Jualan RM 4999

Skrin 6.58″ OLED yang digunakan menyokong resolusi tidak konvensional 1200 x 2640 pixel yang lebih tinggi berbanding FHD+ tetapi lebih rendah berbanding QHD+. Ia adalah skrin yang sama seperti yang digunakan pada P40. Ini bermakna ia juga sekadar menyokong kadar segar semula tertinggi 90Hz, pengimbas cap jari terbina dan mempunyai sisi yang melengkung.

Di tahun 2020, keputusan Huawei untuk hanya menyokong skrin 90Hz bukanlah sesuatu yang kami kategorikan sebagai negatif. Kami merasakan ia masih lagi gimik yang sekadar mengurangkan hayat bateri. Alasan yang diberikan oleh Huawei ialah setakat ini kebanyakan aplikasi masih belum menyokong mod 120Hz dan perlu mengimbangi hayat penggunaan bateri. Kami bersetuju dengan mereka.

Yang kami tidak boleh bersetuju ialah meneruskan rekaan skrin melengkung. Pengalaman menggunakan permua dan menonton video adalah sedikit terganggu kerana bahagian yang melengkung ini. Lubang skrin yang besar juga pada hemat kami menimbulkan masalah yang sama. Tetapi dari segi saiz perlu kami katakan skrin P40 Pro+ adalah lebih kecil berbanding Galaxy S20 Ultra (6.9″), Poco F2 Pro (6.67″) dan Oppo Find X2 Pro (6.7″). Penggunaan nama Plus di sini bukanlah kerana saiz skrin yang lebih besar tetapi pada kemampuan yang dipertingkat berbanding P40.

Tetapi tidak semuanya negatif. Skrin ini memaparkan warna yang hidup, bermaya dan terang. Kadar segar semula 90Hz mampu menawarkan pengalaman tatalan yang terasa lebih lancar berbanding skrin 60Hz. Seperkara lagi Huawei menggunakan bucu logam yang melindungi skrin dari hentakan. Ini ialah kerisauan utama kami dengan peranti berskrin melengkung sejak ia mula digunakan pada Note Edge. Dengan bucu logam yang besar, hentakan akan diserap oleh bingkai dan bukannya permukaan kaca skrin.

Spesifikasi lain ia cip Kirin 990 5G, memori sebesar 8GB dan storan 512GB. Sekali lagi keanehan dilakukan oleh Huawei kerana menawarkan saiz RAM yang kecil untuk model paling premium mereka tahun ini.

Bateri pula sebesar 4200 mAh, sekali lagi seperti RAM adalah lebih kecil berbanding pesaing mereka di dalam kelas yang sama. Adalah lebih baik jika bateri yang lebih besar seperti Galaxy S20 Ultra (5000 mah)  atau Poco F2 Pro (4700 mAh) digunakan. Kekurangan ini terubat dengan sokongan pengecasan lebih pantas 40W secara berwayar atau nirwayar. Kemampuan mengecas peranti lain secara nirwayar pada kuasa 27W juga disertakan. Huawei mengimbangi neraca kekurangan kapasiti bateri dengan antara sistem pengecasan yang terpantas di pasaran pada waktu ini.

Sistem penta-kamera yang digunakan memberikan keunikan kerana tidak banyak peranti di pasaran sekarang menggunakan sistem kamera seperti ini. Dua kamera zum optikal digunakan – satu dengan zum sehingga 3X dan satu lagi untuk 10X dan ke atas. Kemampuan zum sehingga 100X boleh dilakukan. Peningkatan dari hanya 60X sahaja berbanding P40 Pro dan P30 Pro sebelum ini.  Sudah menjadi lumrah untuk tahun 2020, penggunaan sistem kamera yang pelbagai dan bermekanisme periskop menyebabkan wujud bonggol yang besar pada bahagian belakang. Adalah mustahil untuk peranti diletakkan rata pada permukaan meja.

Melengkapi spesifikasi ialah kemampuan kalis air IP68, pembesar suara mono dan pemancar infra merah. Ini meletakkan P40 Pro+ di dalam senarai pendek peranti mercu yang masih mempunyai pemancar infra merah.

Panel belakang peranti diperbuat daripada bahan seramik yang tahan lasak dan tahan calar. Oleh sebab itu P40 Pro+ terasa amat berat di dalam tangan. Ia mengingatkan kami kepada Xiaomi Mi MIX yang merupakan peranti terawal dengan tubuh seramik. Tetapi anda tidak perlu risau masalah bingkai rapuh Mi MIX akan berulang kerana bingkai logam digunakan pada peranti ini.

Secara keseluruhan pengalaman awal menggunakan P40 Pro+ adalah positif kerana rekaan yang premium dipadankan dengan spesifikasi mercu yang berkuasa.

Antaramuka Dan Pengalaman Penggunaan

Sistem operasi Android 10 dipadankan dengan pelancar EMUI 10.1 yang terkini. Huawei kini menggunakan sepenuhnya sistem Huawei Mobile Services pada peranti mereka dengan penawaran aplikasi pula menerusi AppGallery. Sejak setahun yang lalu kami dapat melihat pelbagai perkembangan positif pada AppGallery seperti jumlah aplikasi yang meningkat dan kini data dapat disandarkan sepenuhnya ke Huawei Cloud.

Aplikasi alternatif mereka seperti Huawei Video juga tidak kurang menarik dengan kandungan dari Dimsum, BBC dan Daily Motion misalnya. Lubang besar yang ditinggalkan oleh aplikasi-aplikasi Google sedikit sebanyak berjaya diisi dengan aplikasi alternatif dengan penawaran yang hampir setanding.

Hanya minggu lalu Petal Search akhirnya dilancarkan untuk pasaran Asia Tengggara. Bagi yang kurang arif, Petal Search memudahkan carian aplikasi yang masih belum ditawarkan di App Gallery seperti Facebook, Twitter, Netflix dan Waze. Malahan jika anda mempunyai peranti Android lain sebelum ini.

Proses migrasi dapat dilakukan dengan mudah menerusi aplikasi Phone Clone kerana sandaran yang dilakukan ke Google tidak lagi boleh anda akses. Ya ini juga bermakna jika anda melakukan sandaran mesej WhatsApp ke Google Drive ia tidak lagi boleh dikembalikan ke peranti baharu.

Tetapi bagaimana pula jika anda memang tidak peduli dengan ekosistem Google? Jawapan kami ialah pengalaman penggunaan EMUI 10.1 adalah setanding dengan kesemua peranti mercu yang kami ulas tahun ini. Proses melancarkan aplikasi adalah tidak bermasalah dan berlaku dengan pantas.

Tatalan amat lancar terutamanya dalam mod 90Hz. Terdapat mod gelap dan sokongan gestur seakan Android asli. Dengan kata lain P40 Pro+ menawarkan pengalaman penggunaan yang tiada celanya berbanding peranti mercu Android lain di pasaran. Tiada perkara negatif boleh kami katakan mengenai penggunaan peranti pada waktu ini.

Kamera

Sekeping gambar mampu menawarkan seribu bahasa menurut pepatah penjajah. Mak di sini kami lampirkan beberapa sampel gambar yang sempat kami rakamkan menggunakan kamera Huawei P40 Pro+.

Kesimpulan

Pengalaman awal menggunakan Huawei P40 Pro+ setakat ini adalah amat memuaskan. Kami berpuas hati dengan kelancaran yang ditawarkan oleh EMUI 10.1 dan spesifikasi yang cukup berkuasa. Tetapi kami tahu ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai penggunaannya sebagai peranti harian dan kemampuan kameranya juga kerana peranti Huawei mempunyai reputasi yang amat baik untuk penggemar fotografi. Untuk ulasan penuh dan lebih teliti, nantikan kemunculannya di Amanz dalam masa terdekat.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd