Carian
Panasonic LUMIX G100 Dilancarkan Untuk Rakaman Kandungan Vlog
June 25, 2020 Effi Saharudin

Di dalam dunia norma baharu, pelbagai cara perlu dilakukan untuk melangsungkan kehidupan. Antara kerjaya yang menjadi semakin popular kini ialah menghasilkan video untuk platform seperti YouTube dan Instagram. Untuk golongan yang gemar menghasilkan vlog, Panasonic LUMIX G100 telah diumumkan khusus untuk mereka.

Panasonic LUMIX G100 dilancarkan dengan sensor 20.3MP mikro 4/3 yang boleh dipadankan dengan lensa yang  boleh ditukar.  Kemampuan rakaman video ialah sehingga 4K 30FPS ataupun 1080P 60FPS. Terdapat sistem penstabilan imej secara elektronik sahaja kerana tiadanya IBIS.  Kamera turut dilengkapi skrin sesentuh LCD sebesar 3″ yang boleh dilaraskan ke hadapan dan sebuah EVF.

Sebagai sebuah kamera yang menyasarkan penghasil VLOG, sistem audio Nokia OZO disertakan. Menerusinya audio menyeluruh surround dapat dirakam. Ia juag cukup bijak untuk menangkap audio dari hadapan atau belakang sahaja bergantung kepada situasi. Sekiranya pengguna lebih selesa dengan mikrofon, terdapat bicu untuk mikrofon luaran tetapi tiada bicu untuk fon telinga untuk mendengar rakaman bunyi secara terus.

Spesifikasi lain ialah sokongan WiFi dan tambatan bluetooth bagi membolehkan kawalan menggunakan aplikasi telefon pintar. Seperkara lagi terdapat output HMDI mini dan port pengecasan mikroUSB. Ya masih menggunakan mikroUSB dan sekadar menyokong format USB 2.0 sahaja. Di Amerika Syarikat Panasonic LUMIX G100 dijual pada harga $698 (~RM2986) dengan lensa kit Lumix G Vario 12-32mm f/3.5-5.6 ASPH.

Komen