Cari @ Amanz

Samsung sering meraih perhatian masyarakat dunia melalui inovasi yang dibawakan dalam setiap produk keluarannya. Ketika ini, Samsung dikhabarkan dalam persediaan untuk pengenalan sejumlah produk baru dan salah satu daripadanya adalah Samsung Galaxy Fold 2. Imej pengolokan tidak rasminya telah dikongsi oleh Ben Geskin semalam.

Ia dihasilkan menerusi lukisan skematik yang telah diterbitkan beberapa minggu yang lalu. Apa yang dapat dilihat ialah skrin berlubang pada paparan luar bersama saiz skrin yang lebih besar berbanding pendahulunya. Jika diperhatikan juga, rekaan bezelnya kelihatan lebih nipis. Seterusnya, panel belakang pula dilihat didominasi bonggol kamera berbentuk segi empat

Beralih ke paparan dalam pula, ia tidak memperlihatkan sebarang penggunaan takuk sebaliknya, dipercayai hadir dengan rekaan skrin berlubang. Skrin ini juga dijangka menyokong kadar segar semula 120Hz.

Seperti biasa, maklumat dikongsi masih di peringkat ura-ura. Ice Universe yang juga terkenal dengan penirisan maklumat mengenai peranti pula berkata rekaan tubuh Fold 2 adalah lebih berkotak seperti peranti Galaxy Note dan skrin hadapan pula adalah kecil yang memanjang. Samsung dijangka mengumumkan peranti ini pada Ogos kelak, seiring dengan pengenalan siri Samsung Galaxy Note 20 dan Samsung Galaxy Z Flip 5G.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd